MMA kesal dakwaan perkecil isu buli doktor pelatih


Presiden MMA Dr Koh Kar Chai menegaskan pihaknya aktif memerangi buli dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan sejak bertahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2022.

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) tidak pernah membenarkan sebarang bentuk buli, dan komen mendakwa ia memperkecilkan penderaan terhadap doktor pelatih adalah tidak adil, kata presiden Dr Koh Kar Chai.

“MMA mengulangi pendirian bahawa ia tidak membenarkan sebarang bentuk buli.

“Apa yang kami katakan ialah sudah tiba masanya buli ditakrifkan dengan betul supaya dapat mengenal pasti kes buli sebenar untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil ke atas pelakunya,” kata Koh dalam satu kenyataan.

“Semua kes buli perlu dilaporkan untuk tindakan diambil. Walaupun banyak didedahkan di media sosial, hanya sedikit benar-benar dilaporkan, yang tidak bermakna terdapat beberapa kes sahaja.

“Ia mungkin hanya sedikit daripada banyak kes dan ini sememangnya menimbulkan kerisauan dan kebimbangan. Mereka yang terjejas akibat buli juga tidak boleh berdiam diri,” tambahnya.

Pemimpin DAP Pulau Pinang P Ramasamy hari ini memberikan pandangan berhubung kenyataan Koh pada sidang media semalam yang beliau dilaporkan berkata buli terhadap doktor pelatih hanya sebilangan kecil.

“MMA secara aktif memerangi buli dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan selama bertahun-tahun.

“Adalah jelas bahawa HDK dan timbalan ketua menteri (II) Pulau Pinang tidak membaca kenyataan akhbar penuh MMA yang dikeluarkan semalam dan mereka juga tidak menyaksikan sidang media kami yang diadakan semalam.

“Komen yang mereka buat nampaknya berdasarkan beberapa laporan media yang mereka baca dan bukannya kenyataan akhbar penuh kami.

“MMA tidak pernah memperkecilkan isu buli, justeru gesaan dibuat untuk menamatkan budaya ketakutan dalam KKM.”

Koh menambah MMA menyediakan talian bantuan yang dipanggil HelpDoc pada 2016 supaya pekerja penjagaan kesihatan yang takut melaporkan penyalahgunaan melalui saluran rasmi boleh berbuat demikian secara terus dengan persatuan itu.

“Jadi tidak adil melabelkan MMA sebagai tidak sedar keadaan semasa. Malah, MMA mempunyai pandangan jauh untuk memulakan tindakan mengenai perkara ini,” katanya.

Isu penderaan doktor pelatih oleh doktor kanan kembali menjadi perhatian berikutan kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang yang baru-baru ini maut selepas jatuh dari sebuah bangunan.

Kementerian Kesihatan sedang menubuhkan pasukan petugas bebas untuk menyiasat kejadian itu dan juga isu dakwaan buli doktor pelatih dalam penjagaan kesihatan awam.

Koh berkata semua yang terlibat dalam amalan perubatan harus ingat memandangkan ia profesion bertekanan tinggi yang melibatkan situasi hidup dan mati, semua pihak perlu bekerja sebagai satu pasukan. – 11 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen