Tumpukan penyatuan pembangkang, kembalikan kuasa rakyat 9 Mei 2018


BUAT pertama kali dalam sejarah pilihan raya Malaysia, kerajaan persekutuan yang diperintah Umno dan Barisan Nasional (BN) tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) yang merupakan satu koalisi pembangkang yang kukuh ketika itu. 

Pembangkang yang sekian lama sejak merdeka bersilih koalisi melawan Umno dan BN, akhirnya berjaya menakluk Putrajaya dalam PRU ke-14 yang lalu. 

Perubahan yang berlaku pada 9 Mei 2018 itu adalah atas kehendak rakyat yang mahukan perubahan berlaku kerana sudah jelek dengan pimpinan Umno/BN yang korup dan kegagalan Umno/BN mentadbir dengan baik serta tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat dengan isu perumahan, peluang pekerjaan dan kenaikan kos sara hidup terutama setelah pelaksanaan GST yang sangat membebankan rakyat. 

Isu korupsi yang melibatkan skandal mega 1MDB bukan sahaja mengegarkan dunia, tetapi juga memangkin minda dan jiwa rakyat negara ini untuk bangkit melawan kleptokrasi. 

Angin kemenangan pembangkang ini bukan berlaku sekelip mata. Ia merupakan satu rantaian perjuangan kebangkitan rakyat yang telah lama bermula dengan kemenangan menawan Kelantan melalui koalisi Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada tahun 1990, kemudiannya koalisi Barisan Alternatif menawan Kelantan dan Terengganu pada tahun 1999, kemudiannya muafakat parti-parti pembangkang menawan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor pada tahun 2008 yang membawa kepada pembentukan Pakatan Rakyat (PR). 

Gelombang kebangkitan rakyat ini terus melonjakkan kekuatan pembangkang apabila PR berjaya menafikan penguasaan dua pertiga majoriti  BN di Parlimen serta menguasai undi popular. 

Akhirnya, hasil permuafakatan baru Pakatan Harapan yang ditunjangi parti Amanah, Keadilan dan DAP dengan kerjasama parti serpihan Umno iaitu PPBM dan Warisan telah melengkapkan perjuangan rakyat menjatuhkan parti purba BN yang telah memerintah selama 61 tahun. 

Asas kekuatan yang dilihat rakyat pada muafakat ini adalah kebersamaan yang jitu di kalangan parti-parti pembangkang. Bergerak sebagai satu pasukan dengan logo dan manifesto yang satu memberikan keyakinan kepada rakyat untuk membuat perubahan. 

Tarikh 9 Mei 2018 pasti menjadi hari keramat buat Malaysia kerana bukan sahaja perubahan pemerintahan berlaku, tetapi ia menunjukkan kematangan demokrasi rakyat negara ini yang melakukan perubahan tanpa rusuhan dan penumpahan darah. 

Malaysia tidak perlu melalui tragedi berdarah seperti di Indonesia, Filipina atau Iran untuk menjatuhkan sebuah kerajaan korup dan zalim. 

Peristiwa berdarah Hang Tuah dan Hang Jebat juga tidak perlu berulang kerana rakyat sudah faham bahawa pemerintah yang zalim perlu ditumbangkan. 

Transisi peralihan kerajaan berlaku dengan baik dan bermulalah era baru pentadbiran negara di bawah payung PH. 

PH memulakan pentadbiran dengan menjanjikan perubahan tatakekola kerana perubahan sistem yang dijanjikan perlu bermula dengan perubahan institusi (institutional reform). 

Parlimen diperkasakan dengan penambahan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas Parlimen dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dipengerusikan Ahli Parlimen pembangkang (BN). 

Dasar ini penting supaya fungsi semak imbang terutama perbelanjaan kerajaan benar-benar berfungsi dengan telus supaya rakyat tahu setiap sen yang dibelanjakan. 

Manifesto PH untuk meletakkan prinsip integriti sebagai tunggak pentadbiran negara yang bersih dilaksanakan dengan baik. 

Janji untuk menyiasat kes-kes rasuah berprofil tinggi berjaya dilakukan sehingga terdapat pendakwaan terhadap bekas pemimpin negara termasuk Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi. 

Kes-kes 1MDB diselesaikan dengan tuntutan dibuat terhadap kerajaan Amerika Syarikat yang setakat hari ini sejumlah RM20.5 bilion wang 1MDB yang telah diseleweng, telah dipulangkan kepada kerajaan Malaysia. 

PH juga mengambil langkah-langkah proaktif memulihkan institusi kewangan awam dan GLC yang rugi akibat korupsi. 

Tabung Haji yang rugi hampir RM10.3 bilion berjaya dipulihkan melalui strategi penstrukturan semula TH sehingga TH mampu mengagihkan keuntungan yang bersih dan tinggi sebanyak RM2.1 bilion bermula tahun 2019 dan meningkat hingga kini. 

Selain itu, LTAT yang rugi ketika zaman BN juga dipulihkan sehingga mampu membayar dividen sebanyak 3.5 peratus pada tahun 2020 hasil Pelan Transformasi LTAT di zaman PH. 

Pemulihan kedua-dua institusi ini menunjukkan kesungguhan PH membela orang Melayu dengan memelihara institusi orang Melayu. 

Kesungguhan politik yang ada pada PH untuk memulihkan tadbir urus dan ekonomi negara ini mendapat pengiktirafan dengan rekod kedudukan indeks persepsi korupsi (CPI) menurun dari tangga 62 di zaman BN ke tangga 51 pada tahun 2019. 

Pemulihan kedudukan integriti ini telah berjaya memulihkan ekonomi negara. Ini adalah kerana pelabur semakin yakin dengan kemampuan kerajaan PH mentadbir ketika itu. 

Natijahnya, pelaburan langsung asing (FDI) bagi tahun 2019 meningkat sebanyak RM80.5 bilion. 

Di samping itu, pemulihan ekonomi negara bagi mengatasi masalah kos sara hidup rakyat tetap menjadi agenda utama PH. Langkah awal adalah dengan menghapuskan gst yang merupakan sistem percukaian yang telah menaikkan harga barang yang menjadi isu utama rakyat sehingga kini. 

Bagi meringankan beban rakyat dari peringkat akar, kerajaan PH telah memperkenalkan dasar gaji minimum buat golongan pekerja sebanyak RM1,200 sebulan. 

Selain itu, harga petrol di pasaran juga distabilkan dengan menyuntik subsidi hampir RM3 bilion setahun bagi memastikan harga siling Ron95 pada RM2.08 seliter dan diesel pada RM2.18 seliter. 

Langkah ini penting supaya kos pengangkutan tidak membebankan poket rakyat dan seterusnya dapat mengurangkan kos rantaian bekalan barangan dalam usaha menurunkan harga barang. 

Kesungguhan PH ini dizahirkan lagi dengan pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan dan pemerkasaan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL). 

Bukti kejayaan dasar PH adalah dengan kejayaan mengawal harga barang basah seperti ayam dengan harga RM5.90 sekilogram berbanding harga ayam baru-baru (Aidilfitri 2022) ini sebanyak RM8.90 sekilogram. 

Banyak dasar dan langkah baik diambil oleh kerajaan PH selama 22 bulan memerintah dan ramai pakar-pakar ekonomi memuji kemampuan kerajaan PH. Namun, kemungkinan nikmat kejayaan ini tidak dirasai ke perut rakyat kerana pelaksanaan dasar-dasar baik ini masih baru. 

Kerajaan PH telah melancarkan satu visi baru iaitu ‘Kemakmuran Bersama 2030’ bagi merangka pembangunan baru negara yang seimbang buat semua rakyat Malaysia. 

Namun, semua usaha ini digagalkan oleh pengkhianatan beberapa orang ahli politik membentuk kerajaan pintu belakang melalui Langkah Sheraton. 

Kerajaan Perikatan Nasional ini yang kini diterajui Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob adalah sebuah kerajaan yang tidak stabil kerana tidak dibentuk atas muafakat yang konkrit dan hingga kini tiada apa-apa dasar konkrit memulihkan ekonomi negara terutama kos sara hidup rakyat. 

Sentimen kerajaan Melayu Islam hanya candu politik bagi menjatuhkan kerajaan sah PH, namun tiada apa-apa signifikan dasar Melayu Islam dalam kerajaan hari ini. 

Secara umumnya, kerajaan PH ditumbangkan melalui fitnah dan propaganda yang gagal ditangkis dengan baik. 

Oleh demikian, rakyat tidak seharusnya membiarkan kerajaan hari ini yang diterajui pimpinan Umno/BN terus berkuasa kerana kerajaan ini masih terpalit dengan sikap korupsi dan gagal menyediakan dasar yang baik bagi memulihkan ekonomi. 

Peluang perlu diberikan kepada PH untuk mentadbir semula kerana terbukti PH berpegang kepada prinsip tadbir urus baik (good governance) dan kemampuan melaksanakan dasar baik memulihkan ekonomi. 

Oleh demikian, PH harus bersedia menggembleng kuasa rakyat untuk mentadbir semula negara ini demi menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin korup dan zalim. Namun, saya berpandangan, terdapat 4 asas utama yang perlu diberikan perhatian serius iaitu:

i) pembentukan segera barisan bersatu (united front) di kalangan parti-parti yang mahu menjatuhkan Umno/BN

ii) menjuarai dan menyediakan dasar yang mampu menangani masalah poket dan perut rakyat termasuk isu harga barang, peluang pekerjaan dan perumahan

iii) mengangkat perjuangan membela orang Melayu sebagai kaum terbesar dalam negara dan memahami sensitiviti setiap isu yang melibatkan sentimen perkauman

iv) memantapkan kaedah komunikasi untuk membangkitkan semangat rakyat keluar mengundi dengan lebih banyak menguasai media sosial dan media mainstream. 

Kita tidak boleh menunggu sehingga pilihan raya umum seterusnya untuk berkuasa semula. 

Umno/BN yang selama ini terkenal dengan dasar anti demokrasi pasti menggunakan peluang yang ada jika berkuasa semula untuk menutup ruang-ruang demokrasi. 

Kelesuan rakyat terhadap politik boleh meningkat sekiranya Umno/BN memerintah semula dan oleh itu PH perlu bersemangat untuk bangkit semula menghentikan penguasaan Umno/BN dalam PRU ke-15 ini. – 10 Mei 2022.

* Faiz Fadzil, Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen