Tubuh unit terapi dan kaunseling untuk doktor, kata wakil rakyat


Kesihatan mental pegawai perubatan dan kakitangan KKM perlu dipandang serius, kata Teresa Kok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2022.

TERESA Kok mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan menubuhkan unit terapi dan kaunseling untuk pegawai perubatan termasuk doktor pelatih bagi membantu mereka menangani tekanan pekerjaan mereka.

Dalam satu kenyataan, ahli Parlimen Seputeh itu memuji tindakan KKM untuk menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat laporan doktor pelatih berkaitan buli di hospital.

Bagaimanapun, katanya, lebih mustahak untuk KKM mengambil serius kesihatan mental kakitangannya.

Kok berkata penubuhan unit kaunseling itu juga selari dengan Pelan Strategik Nasional untuk Kesihatan Mental 2020-2025 dikeluarkan KKM.

“Pendedahan oleh doktor pelatih di media sosial mengenai beban kerja dan tekanan mereka hadapi sebagai doktor perubatan menunjukkan ada kalangan mereka berdepan tekanan dan depresi.

“Pada masa sama, kelakuan kasar atau budaya buli oleh sebilangan pegawai perubatan kanan di hospital terhadap pegawai bawahan mereka juga menunjukkan yang mereka mempunyai masalah sikap dan perlukan bantuan psikologi,” kata wakil rakyat DAP itu.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebuah pasukan petugas bebas akan ditubuhkan untuk menyiasat kes kematian seorang doktor pelatih.

Tambahnya, pasukan itu juga akan menyiasat dakwaan budaya buli dihadapi doktor pelatih dalam perkhidmatan awam.

Seorang doktor pelatih berusia 25 tahun maut selepas terjatuh dari sebuah bangunan di Jalan Datuk Keramat, George Town, Pulau Pinang pada 17 April lalu.

Mangsa ditugaskan di Hospital Pulau Pinang sejak 4 April lepas.

Pada Rabu Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berkata kematian doktor pelatih itu sedang disiasat polis. 

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ma’arof Sudin berkata polis mengarahkan bedah siasat yang akan dilakukan di Hospital Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin hari ini berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat peringkat negeri bagi menyiasat isu yang dihadapi doktor pelatih. – 7 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen