Matlamat basmi miskin tegar boleh dicapai tapi lebih lama, kata pakar


Ravin Palanisamy

Penganalisis ekonomi berkata dengan prestasi ekonomi semasa, sukar negara mencapai sasaran basmi miskin tegar dalam tempoh tiga tahun akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2022.

MATLAMAT untuk membasmi golongan miskin tegar melibatkan 195,664 keluarga berkemungkinan besar dapat dicapai tetapi akan mengambil masa lebih lama daripada sasaran yang diunjurkan kerajaan menjelang akhir 2025, kata pakar ekonomi.

Penganalisis Ekonomi Dr Madeline Berma berkata walaupun Malaysia mempunyai matlamat pengurangan kemiskinan yang jelas, pengalaman mereka dalam usaha membasmi kemiskinan sentiasa dikaitkan dengan pembangunan ekonomi yang pesat dan strategi pro-miskin di bawah rangka kerja pembangunan pertumbuhan dan pengagihan.

Beliau berkata dengan prestasi ekonomi semasa, adalah sukar bagi negara mencapai sasaran ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Memandangkan senario semasa dengan pertumbuhan ekonomi perlahan, saya tidak fikir kerajaan mampu menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi yang lebih luas kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di kawasan bandar dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Selain itu, saya ragu sektor pertanian mengalami pemodenan cukup pantas untuk meningkatkan produktivitinya dan menyumbang kepada peningkatan pendapatan golongan miskin di luar bandar,” kata Madeline kepada The Malaysian Insight.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata kerajaan mahu membasmi golongan miskin tegar menjelang akhir 2025 melalui program pembasmian kemiskinan tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Mustapa berkata melalui BMTKM, keluarga miskin akan diberi bantuan untuk memperbaiki kehidupan mereka dan pembangunan keluarga mereka akan dipantau terutama pendidikan anak-anak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata daripada jumlah keseluruhan 195,664 keluarga miskin tegar di negara ini, jumlah tertinggi dicatatkan di Sarawak iaitu 58,611 keluarga, diikuti Sabah (31,598 keluarga), Kelantan (28,553 keluarga) dan Kedah (15,964 keluarga).

Madeline yang juga felo Akademi Sains Malaysia berkata pandemik Covid-19 meninggalkan kesan membimbangkan kepada pasaran buruh Malaysia yang dipercayai akan memberi impak kepada pekerjaan dan pendapatan.

Bagaimanapun, beliau berharap ini akan bertambah baik dari semasa ke semasa.

“Semasa pandemik, pengangguran dan pemberhentian kerja di kalangan belia meningkat dengan terdahulu meningkat kepada 12% daripada jumlah tenaga buruh belia atau 314,000 orang pada 2020, manakala pada 2019 data melibatkan 10.5% atau 295,800 orang.

“Struktur pekerjaan tidak berubah dengan ketara semasa wabak itu. Insiden pekerjaan yang tinggi dan pengangguran boleh menghalang keupayaan Malaysia untuk membasmi kemiskinan tegar pada 2025.

“Dalam jangka masa panjang, keadaan akan bertambah baik sedikit, dengan pengurangan terhadap kebergantungan kepada pekerja asing, terutamanya berkemahiran rendah.  Ini akan meningkatkan peluang pekerjaan dan menjadikan gaji lebih menarik bagi menggalakkan lebih banyak penglibatan rakyat Malaysia dalam pekerjaan tertentu,” tambah Madeline.

Sebab lain Madeline percaya pembasmian kemiskinan tegar tidak mungkin dilakukan menjelang 2025 adalah kerana peralihan landskap kerja, di mana kebanyakan perniagaan kini menumpukan kepada pendigitalan.

Madeline berkata peralihan ke arah pendigitalan tidak akan berlaku serta-merta untuk mengubah struktur ekonomi dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Pekerjaan jarak jauh meluas, termasuk amalan kerja dari rumah dan kemajuan pendigitalan, dijangka mengubah landskap pekerjaan dan masa depan untuk meningkatkan kebolehpasaran.

“Saya menjangkakan majikan akan terus melatih semula pekerja mereka, dan pekerja akan terus meningkatkan kemahiran diri bagi memenuhi kemahiran masa depan yang dituntut.

“Malaysia juga akan bergerak ke arah pendigitalan bagi memudahkan perniagaan menggunakan alat teknologi dalam operasi harian dan membolehkan pekerja bergerak secara progresif ke arah automasi dan pendigitalan untuk memenuhi masa depan pekerjaan.

“Peralihan ke arah pendigitalan ini tidak akan berlaku serta-merta untuk mengubah struktur ekonomi menjelang 2025, ” katanya. – 7 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen