LEBIH banyak peruntukan perlu disediakan dalam Belanjawan 2021 bagi menangani masalah miskin bandar berikutan Malaysia menaikkan had pendapatan Garis Kemiskinan, kata Khairy Jamaluddin.
“Belanjawan 2021 akan menjadi belanjawan pertama dengan garis kemiskinan baharu.
“Jadi, dengan garis kemiskinan baharu, kita pasti akan menyaksikan peningkatan peruntukan untuk bantuan kebajikan dan usaha menangani kemiskinan.
“Lebih banyak perbelanjaan diperlukan untuk kebajikan, kita perlu belanjakan lebih banyak untuk sokongan pendapatan,” kata menteri sains, teknologi dan inovasi itu pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Pada Julai, Jabatan Perangkaan Malaysia menyemak semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) keseluruhan nasional pada kadar RM2,208 berbanding RM980 sebelum ini. Dengan semakan itu, lebih 400,000 isi rumah di negara ini dianggap miskin.
Terdahulu ahli Parlimen Rembau itu turut mengambil bahagian dalam program agihan bantuan makanan anjuran Yayasan ECM Libra dan Pertiwi di Chow Kit.
Menerusi program berkenaan, ribuan bantuan makanan diagihkan kepada golongan memerlukan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac, melibatkan 1,427 keluarga, 640 golongan miskin bandar, termasuk ibu tunggal.
Turut hadir pada program itu, Pengerusi Yayasan ECM Libra Kalimullah Hassan, pengasas Pertiwi Munirah Hamid, pengasas AirAsia Tony Fernandes, pengasas Kumpulan KLK Lee Oi Hean dan YTL Power Yeoh Seok Hong. – 14 Ogos, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen