Tubuh suruhanjaya tangani kemiskinan lebih efektif, kata pakar


Sheridan Mahavera

Sukar untuk memastikan keberkesanan program membasmi kemiskinan yang dijalankan oleh agensi berkaitan di negara ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2020.

PUTRAJAYA perlu tubuhkan suruhanjaya kemiskinan kebangsaan untuk menguruskan program bantuan dengan lebih baik bagi memastikan setiap sen sampai kepada golongan memerlukan, kata ahli akademik.

Badan nasional seperti ini dapat mengkaji semula dasar dan memusatkan pengumpulan data mengenai tahap kesulitan sebenar yang dihadapi oleh pelbagai kumpulan seperti penduduk bandar dan luar bandar, Orang Asli dan pekerja asing.

Ini membolehkan penggunaan dana awam lebih efektif dan efisien untuk membantu golongan ini kerana pada masa ini, perbelanjaan kerajaan untuk kemiskinan diagihkan kepada kira-kira 100 program persekutuan dan negeri, menurut laporan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Kekurangan agensi pusat juga bermakna walaupun sejumlah besar wang dibelanjakan untuk memerangi kemiskinan, tidak dapat diketahui sejauh mana keberkesanan skim ini, kata mereka.

Prof Mohd Yusof Kasim dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata dalam kajiannya mengenai kemiskinan, tiada koordinasi antara agensi yang mempunyai program tertentu dan ini menyebabkan berlaku pertindihan.

“Keberkesanan agensi ini dipersoalkan. Cara mereka berbelanja tidak efisien dari segi kos kerana terlalu banyak agensi yang terlibat,” kata Yusof pada Webinar yang turut mengetengahkan bekas wakil PBB mengenai kemiskinan dan hak asasi manusia Phillip Alston.

“Dan berlaku pertindihan antara agensi dan program adakalanya pada satu tempat,” yang menganjurkan kaedah yang disemak semula untuk mengukur kemiskinan dan kajian semula dasar semasa.

Selepas laporan Alston berhubung kadar kemiskinan di Malaysia dikeluarkan, Malaysia semalam mengumumkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) adalah pada tahap pendapatan bulanan isi rumah RM2,208, menjadikan kadar kemiskinan negara pada 2019 naik kepada 5.6%.

Yusof berkata, dasar anti-kemiskinan harus difokuskan pada 10 peratus dan 20 peratus penduduk bawah dan tidak boleh terlalu banyak agensi yang terlibat.

“Ini adalah peranan suruhanjaya kemiskinan. Kemiskinan tidak harus ditangani oleh kementerian yang berasingan tetapi oleh agensi nasional. Jika tidak, kita membelanjakan semua wang ini tetapi tidak mendapat hasil yang baik.” – 11 Julai, 2020.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen