Belum masanya tubuh RCI siasat ukuran kemiskinan, kata Anwar


SM Amin

Anwar Ibrahim berkata masih terlalu awal untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan Malaysia memalsukan kaedah mengukur kadar kemiskinan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 September, 2019.

Masih terlalu awal untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan Malaysia memalsukan kaedah mengukur kadar kemiskinan, kata Anwar Ibrahim.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen itu berkata ia dibincangkan kaukus tersebut dua minggu lalu namun masih memerlukan maklum balas daripada pihak berkepentingan.

Jelasnya, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan pakar ekonomi daripada universiti perlu memberi pandangan kepada semua ahli Parlimen sebelum kaukus dapat memberi ulasan.

“Terlalu awal (untuk tubuh RCI). Ia untuk berikan ruang, kepada EPU, pakar ekonomi termasuk Jomo Sundaram, dan pakar ekonomi dari UM, UKM, untuk beri imput supaya semua ahli parlimen dapat ikuti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menubuhkan RCI ke atas dakwaan itu.

Pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, isu itu merupakan satu skandal yang amat besar dan perlu diberikan perhatian segera oleh kerajaan.

Dakwaan tersebut dibangkitkan dalam laporan PBB yang menyebut, kadar kemiskinan di Malaysia sepatutnya lebih tinggi kerana kaedah pengiraan yang digunakan itu sudahpun lapuk.

Pelapor khas PBB mengenai kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, Philip Alston menyebut Malaysia memalsukan ukuran kemiskinan kerana kadar kemiskinannya lebih tinggi berbanding laporan rasmi.

Menurutnya, Malaysia menggunakan garis kemiskinan yang terlalu rendah, yang tidak mencerminkan kos sara hidup dan tidak termasuk penduduk yang terdedah dalam angka rasminya.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut disangkal oleh Menteri Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang mempertahankan bahawa data berkenaan dikutip menggunakan piawai antarabangsa.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun menyatakan kerajaan akan mengkaji dengan serius laporan PBB yang mendakwa peratusan kemiskinan di Malaysia adalah 15% hingga 20% dan bukan 0.4% seperti dilaporkan pada 2016.

Jelasnya, kerajaan akan melihat keperluan sekiranya kaedah mengukur dan pembasmian kemiskinan diamalkan perlu disemak semula. – 8 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen