Ubah garis ukur kemiskinan, kata Anwar Ibrahim


Mohd Farhan Darwis Diyana Ibrahim

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata pengagihan kekayaan negara ini harus diagih dengan saksama supaya keuntungan syarikat besar tidak dibolot oleh segelintir rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 September, 2019.

SATU paras lebih tinggi perlu dipakai oleh kerajaan untuk mengukur garis kemiskinan di Malaysia, kata Anwar Ibrahim.

Beliau yang bercakap atas kapasiti Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen berkata, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri pun bersetuju supaya kerajaan mempertimbangkan ukuran baru kadar kemiskinan rakyat.

“Kita ada konsensus menggesa kerajaan letakkan kadar lebih tinggi kerana Dr Mahathir buat perakuan sedia timbang pandangan baru tentang ukuran kadar kemiskinan,” kata Anwar, ketika berucap di Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia, di Parlimen, hari ini.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh kaukus yang Anwar pengerusikan, bersama Majlis Ahli-Ahli Penyokong Kerajaan dan Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Menurut Anwar, pengagihan kekayaan negara ini harus diagih dengan saksama supaya keuntungan syarikat besar tidak dibolot oleh segelintir rakyat.

Katanya, ketika kekayaan dipegang oleh segelintir dalam kumpulan berpendapatan tinggi atau T20, kumpulan berpendapatan rendah atau golongan B40 tidak meningkat pendapatannya selari dengan pertumbuhan ekonomi negara.

“Apa yang berlaku mereka kurangkan belanja dalam bidang makanan di rumah… kualiti makanan turun, pengangkutan turun, makan di luar turun, masa cuti turun,” katanya.

Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, sekiranya keadaan berterusan, kualiti kesihatan dan pendidikan kumpulan itu juga dibimbangi akan merosot. 

Anwar antara lain turut berkata, saban tahun Putrajaya mengeluarkan perbelanjaan besar untuk program pembasmian kemiskinan namun langkah itu seakan tidak berhasil.

Dalam rumusannya, Anwar berkata hasil pertemuan kaukus itu menggesa kerajaan menyatakan keprihatinan terhadap laporan yag diterbitkan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia Prof Philip Alston serta ulasan pakar ekonomi tempatan termasuk pakar ekonomi seperti Jomo Kwame Sundaram dan Rajah Rasiah.

“Dengan merujuk di antara lain angka dan rajah BNM (Bank Negara Malaysia) dan Khazanah Research Institut berkenaan kadar kemiskinam negara ini yang didakwa terlalu rendah dan tidak mencerminkan kos sara hidup sebenar dan di samping tidak mengambil kira penduduk terpinggir,” kata Anwar lagi.

Rajah Rasiah dari Asia Europe Institute Universiti Malaya (UM) dan Jomo dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM hari ini turut membentangkan dapatan mereka tentang realiti kemiskinan di Malaysia.

Seminar hari ini juga dilaksanakan selepas laporan Alston disiarkan pada 23 Ogos lalu.

Laporan itu mendakwa Malaysia mempunyai “kemiskinan yang ketara”, dan kadar kemiskinan sebenar adalah kira-kira 15% berbanding 0.4% yang dinyatakan kerajaan. – 24 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen