Petani jangan putus asa jika harga komoditi jatuh, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Willie Mongin berkata kerajaan sentiasa berusaha meneroka pasaran baharu di peringkat dunia supaya komoditi mempunyai permintaan dan harga sentiasa berada di tahap yang baik agar para petani tidak terkesan teruk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2022.

TIMBALAN Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Willie Mongin hari ini menasihati golongan petani agar tidak berputus asa sekiranya harga komoditi yang mereka usahakan jatuh menjunam.

Sebaliknya, katanya, mereka perlu sentiasa fokus dan teguh dalam usaha mereka kerana penurunan harga komoditi dalam pasaran adalah perkara biasa.

Bercakap semasa menyempurnakan Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia 2022 di Rumah Inting Itam di Nanga Lasi, di Julau, hari ini, Willie berkata beliau yakin potensi sektor komoditi di Malaysia adalah cerah.

Mengambil contoh kelapa sawit, beliau berkata pada satu ketika semasa harga buah tandan segar jatuh sehingga RM200 setan metrik ramai yang menebang pokok kelapa sawit mereka kerana kecewa dengan harga yang rendah itu.

“Tapi hari ini harga sawit adalah antara RM1,200 - RM1,500 setan metrik manakala minyak sawit mentah antara RM6,000 - RM9,000 setan metrik dan ramai yang menangis kerana telah tebang pokok kelapa sawit mereka. Jangan kita jadi petani yang tiada fokus,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sentiasa berusaha meneroka pasaran baharu di peringkat dunia supaya komoditi mempunyai permintaan dan harga sentiasa berada di tahap yang baik agar para petani tidak terkesan teruk.

Selain itu, Willie turut menasihati para petani agar mengusahakan komoditi yang mempunyai badan penyeliaan atau lembaga untuk mengurus dan membangunkannya.

Melalui lembaga tersebut, katanya, mereka akan dapat menerima pelbagai skim bantuan ataupun insentif bagi mengusahakan komoditi mereka. – Bernama, 20 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen