KERAJAAN perlu bertindak bagi menyelesaikan isu kenaikan harga barang secara mendadak, terutama melibatkan ‘orang tengah’ yang didakwa menjadi punca kepada permasalahan itu, kata Senator Jefridin Atan.
Beliau berkata tidak dinafikan bahawa kewujudan ‘orang tengah’ dapat membantu, terutamanya berkaitan hubungan antara petani dan penternak dengan pusat jualan besar seperti pasar raya.
“Namun begitu, perlu untuk kerajaan ambil peduli memandangkan isu ini bukan lagi isu luar biasa, malahan telah dianggap salah satu permainan dalam dunia pertanian dan penternakan, apabila ‘orang tengah’ memainkan isu harga tinggi, sehinggalah menjejaskan penyaluran produk ke pasaran dengan harga mampu milik.
“Mereka (orang tengah) bertindak memainkan harga dengan stok sehingga menyebabkan harga naik terlalu mendadak dengan menggunakan alasan kekurangan stok di pasaran, sedangkan tujuan utama mereka adalah memainkan isu harga bagi membawa masuk produk import dari luar negara, supaya mendapat untung yang lebih banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Akibat daripada strategi ‘orang tengah’ berkenaan, Jefridin berkata petani dan penternak tempatan mengalami kerugian apabila stok mereka tidak terjual, disebabkan lambakan produk import yang dibawa masuk.
Sementara itu, Senator Dr Ahmad Azam Hamzah ketika membahaskan rang undang-undang itu berkata masalah kenaikan harga ayam pula adalah disebabkan kenaikan harga makanan ayam yang diimport dari luar negara.
Beliau berkata harga makanan ayam itu meningkat antara 50 hingga 70 peratus yang terdiri daripada jagung, hampas kacang soya dan beberapa bahan lain termasuk minyak kelapa sawit, yang digunakan dalam makanan ternakan yang harganya melambung begitu tinggi.
“Persoalan ini juga harus ditangani oleh pihak kerajaan kerana untuk jangka masa panjang, ayam merupakan sumber protein utama rakyat Malaysia dan yang termurah. Walaupun kini mungkin harga menjangkau RM10.50 (satu kilogram) tetapi tidak ada protein lain sehingga ke hari ini yang berharga RM10.50 satu kilogram, apa lagi ikan, sebahagian besar daripada ikan, harga jauh daripada itu,” katanya.
Senator Ahmad Yahaya yang turut membangkitkan isu sama, mencadangkan kerajaan supaya mempergiatkan penguatkuasaan dan pemantauan aduan berkaitan kenaikan harga barangan keperluan asas akhir-akhir ini.
Beliau berkata pegawai berkaitan perlu turun ke lapangan atau memantau secara dalam talian berkenaan aduan yang dibuat, supaya tindakan boleh diambil dengan segera.
“Realiti di bawah tidak sama dengan jawapan di atas sekeping kertas yang dibaca oleh kementerian, (maka, ia) wajar ditangani segera agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu.
Dalam pada itu, Senator Razali Idris berkata kementerian berkaitan perlu memberi penekanan kepada isu kenaikan harga barangan itu, dan mencari penyelesaian untuk menstabilkan semula harga barangan.
“Jangan kita selalu bagi alasan (kenaikan harga barangan disebabkan) cuaca, musim sejuk, kemarau, serangan lalat dan sebagainya. Ini bukan jawapan dari pihak kerajaan. Soalnya harga ini dilihat turun, naik ikut sesuka hati, walaupun ada harga lantai, ada harga siling tapi tidak bermakna.
“Rakyat sekarang marah dengan cara kita mengendalikan isu kenaikan harga barangan ini. Rakyat nak tahu satu sahaja macam mana kita nak stabilkan harga barang, alasan-alasan ini kita letak tepi. Rakyat nak harga barang stabil seperti yang asal,” katanya pada sesi perbahasan itu.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok. – Bernama, 15 Disember, 2021.
Komen