AKTIVIS seni Fahmi Reza mengumumkan polis sudah meminta beliau untuk hadir bagi siasatan mengenai satu karya disiarkannya semalam memaparkan beruk dengan pakaian berwarna kuning.
Fahmi yang berulang-kali disiasat polis dan didakwa atas karya kontroversinya berkata, beliau kali ini dipanggil untuk siasatan mengikut Akta Hasutan dan juga Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Tak sampai 15 jam polis dah buka kertas siasatan bawah Akta Hasutan dan Akta Sakit Hati kerana grafik satira beruk yang aku siar malam tadi.
“Polis minta datang balai untuk disoal siasat petang ini juga. Kita jumpa sekejap lagi,” katanya di Twitter.
Akta Sakit Hati itu merujuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang turut digunakan untuk siasatan dan pendakwaan ke atasnya di mahkamah beberapa kali sebelum ini.
Karya yang disiarkannya semalam memaparkan karikatur seekor beruk berwarna hijau dan berbulu hitam yang memakai pakaian berwarna kuning serta objek seperti keris dan pingat kebesaran.
Grafik itu diolah menjadi seperti satu potret dengan bingkai berwarna keemasan dan dimuatkan di Twitter pada kira-kira jam 10.15 malam tadi.
Dalam satu lagi coretan berasingan sekitar jam 1 pagi di pelantar sama, Fahmi menyebut mengenai penerimaan ke atas kritikan dalam bentuk satira yang disebutnya sebagai perbuatan “memberukkan” seseorang.
“Kalau kita boleh terima dan tak sekat karya satira yang memberukkan orang lain, kita juga harus terima dan tak sekat karya satira orang lain yang memberukkan kita,” katanya.
Kenyataan itu muncul selepas beberapa ahli Parlimen menyuarakan rasa tidak senang apabila Sultan Selangor mempamerkan satu lukisan memaparkan beruk dan katak bersidang di Dewan Rakyat.
Antaranya, Ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof dari parti Amanah yang menganggap lukisan yang dibeli Sultan Sharafuddin Idris Shah itu melanggar etika dan adab.
Bekas menteri agama itu antara lain memetik ayat dalam Surah Hujurat (Al-Quran 49:11) mengenai larangan Allah ke atas perbuatan mencemuh dan gelaran dengan panggilan buruk.“Malah mereka yang tidak berhenti berbuat demikian (bertaubat) dia disebut oleh Allah sebagai orang yang zalim,” kata Mujahid yang turut menganjurkan agar satira menghormati adab Islam. – 14 April, 2022.
Komen