Fahmi Reza sekali lagi dipanggil polis


Ravin Palanisamy

Dalam satu catatan di Twitter hari ini, Fahmi Reza berkata beliau diminta hadir untuk memberi keterangan esok.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2021.

PEREKA grafik dan aktivis Fahmi Reza sekali lagi dipanggil polis, kali ini berhubung satu poster yang dikaitkan dengan PAS.

Dalam satu catatan di Twitter hari ini, Fahmi berkata beliau diminta hadir untuk memberi keterangan esok.

“Korang tak kan percaya, polis buka satu kertas siasatan baru terhadap aku! Kali ni untuk satu poster grafik berkaitan PAS.

“Aku dipanggil ke balai untuk disoal siasat esok,” tulisnya.

Fahmi juga berkata ini merupakan kali ketujuh beliau dipanggil berkait grafik satira.

Bulan lepas beliau disiasat berhubung poster membabitkan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, yang dimuat naik di Facebook dan Twitter.

Sebelum itu, pada April, Fahmi dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan semalaman dan memberi keterangan berhubung siasatan atas tuduhan hasutan.

Beliau disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan hantaran yang berkongsikan senarai Spotify miliknya yang diisi dengan lagu-lagu bertema cemburu bertajuk “Dengki ke?”, yang didakwa menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Fahmi disoal siasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. – 27 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen