Fahmi Reza bebas dengan jaminan polis


Fahmi Reza menerusi Twitter petang tadi berkata polis menahan beliau sejak 4 petang berhubung poster 'Keluarga Malaysia' dan karikatur Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. – Gambar Twitter, 4 Oktober, 2021.

PEREKA grafik dan aktivis Fahmi Reza dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan berhubung poster ‘Keluarga Malaysia’ dan karikatur Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Fahmi menerusi Twitter petang tadi berkata polis menahan beliau sejak 4 petang selepas disoal siasat.

“Selepas ditahan sejak pukul 4 tadi, polis rampas phone aku, ambil cap jari dan ambil gambar aku macam penjenayah. Mereka nak ambil DNA tapi aku tak bagi.

“Kemudian polis buat keputusan untuk bebaskan aku dengan jaminan polis. Tak perlu tidur lokap malam ni!” tulisnya.

Fahmi sebelum itu memaklumkan beliau ditahan selepas disoal siasat berhubung poster satira Keluarga Malaysia, konsep yang diperkenalkan oleh Ismail Sabri selepas dilantik sebagai perdana menteri kesembilan.

“Aku kena tangakap polis selepas disoal siasat untuk kes poster satira Keluarga Malaysia dengan lukisan karikatur PM Ismail Sabri. Ditahan di IPD Wangsa Maju.”

Peguamnya Rajsurian Pillai ketika dihubungi berkata Fahmi disiasat di bawah tiga akta termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membabitkan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi yang tidak wajar. 

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Selain itu, Fahmi disiasat dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan, yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Beliau turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. – 4 Oktober, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen