Izzah tidak tanding pemilihan PKR, tumpu kempen Ayuh Malaysia


Mohd Farhan Darwis

Nurul Izzah Anwar umum tidak bertanding pemilihan PKR, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada kempen Ayuh Malaysia bersama calon timbalan presiden Rafizi Ramli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2022.

NURUL Izzah Anwar mengumumkan tidak bertanding dalam pemilihan PKR kali ini bagi menumpukan kepada kempen Ayuh Malaysia yang diusahakan bersama calon timbalan presiden Rafizi Ramli.

Katanya, langkah itu bagi melindungi masa depan parti melalui kempen yang memfokuskan usaha menarik sokongan pengundi atas pagar kepada PKR dan gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Seiring dengan komitmen penuh saya kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan yang kita kasihi – saya akan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia.

“Meski saya tidak terlihat di dalam pesta demokrasi parti, saya tetap mendukung rakan yang bertanding dengan penuh semangat setiakawan. 

“Moga-moga PKR mampu membidani satu lapisan kepimpinan yang gah dan komited,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namanya tidak tersenarai selepas tempoh penamaan calon tamat semalam bagi pemilihan sesi 2022/2025 yang dijadualkan berlangsung pada Mei depan.

Pemilihan tersebut sengit dengan sekurang-kurangnya 17 individu tampil merebut empat jawatan naib presiden PKR, yang pernah disandang Nurul Izzah sebelum ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu meletak jawatan politik dan lantikan kerajaan pada Disember 2018, yang disebutnya sebagai langkah sementara.

“Perletakan jawatan tersebut bukanlah titik noktah akhir perjuangan di dalam parti. 

“Sebaliknya ianya merupakan langkah introspeksi – mengingatkan semua, termasuk diri saya sendiri tentang kepentingan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita, serta pemimpin parti kepada perjuangan asal reformasi,” katanya,

Tambahnya, wadah politik melalui jawatan parti bukan satu-satunya usaha untuk meraih semula keyakinan rakyat yang kini tertekan akibat kesan pandemik.

Selain itu, rakyat juga kini kecewa dengan kemelut politik negara dan juga pengkhianatan dilakukan pemimpin PKR, katanya yang juga anak sulung presiden parti itu.

“Titik pertemuannya adalah kejayaan kita meraih semula keyakinan rakyat yang telah banyak berkorban lalu menongkah badai sosioekonomi yang perit, lebih-lebih lagi selepas dilanda pandemik tetapi kecewa dengan kemelut politik negara.

“Wadah politik semata tidak semestinya mampu meraih dukungan rakyat yang tercalar teruk selepas sekumpulan besar ahli parlimen dari parti PKR mengkhianati kita lalu mendakap organisasi lain yang menawar habuan, pangkat serta laba.

“Sertai Jelajah Ayuh Malaysia. Kita dengarkan bersama suara rakyat – yang sentiasa tersemat sebagai suara keramat,” katanya.

Usaha menarik semula sokongan pengundi atas pagar itu digerakkan kekalahan teruk PKR dan PH dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor yang menyaksikan BN kembali membentuk kerajaan.

Kempen itu dilancarkan Rafizi pada pertengahan bulan lalu sewaktu mengumumkan beliau kembali aktif dalam politik 

Rafizi pada waktu itu menjelaskan, kempen Ayuh Malaysia tidak menggunakan seruan politik sebaliknya menjurus kepada isu yang dekat dan boleh diterima pengundi.

Kempen itu akan mengangkat isu realiti kehidupan dalam usaha menarik minat kelompok terbabit, seperti mana pernah digunakan PH untuk menghadapi PRU14, katanya.

Ayuh Malaysia memberikan tumpuan kepada lima agenda utama, antaranya jaminan keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Turut ditumpukan isu rumah mampu milik dan demokrasi pendidikan. – 12 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen