SETIAUSAHA Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti yang akan berlangsung pada Jun.
Laporan portal Malaysiakini menyebut, ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu mengumumkan demikian dalam ucapan di mesyuarat agung sayap parti tersebut di Kota Bharu.
Katanya beliau akan berdepan naib presiden parti Rafizi Ramli yang dianggapnya sebagai persaingan dua orang rakan.
“Sejujurnya Rafizi merupakan aset parti, seorang yang kreatif, intektual, tinggi daya juang dan dihormati rakan dan lawan.
“Justeru persaingan ini adalah tawaran dua rakan yang ingin terus menyumbang kepada keutuhan parti melalui proses demokrasi yang diizinkan di dalam perlembagaan parti,” katanya sepeti dipetik.
Dalam ucapannya, Saifuddin turut menyebut pengalamannya dalam kerja berpasukan parti dan turut menghargai sumbangan setiap orang di dalam parti
Tambahnya, beliau berpengalaman mempersiapkan parti dalam tiga pilihan raya umum termasuk dalam rundingan kerusi, merangka manifesto, strategi, pengukuhan jentera serta kempen.
“Saya membawa pengalaman tatkala parti bersama Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan.
“Saya berhasrat memanfaatkan sedikit kemahiran membantu parti dalam perkara berkait diplomasi politik dalam memelihara hubungan dengan parti sahabat di dalam PH dan parti lain,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan akan terus kekal berkhidmat dalam PKR sekiranya gagal dalam persaingan merebut jawatan tersebut. – 1 April, 2022.
Komen