Anwar kekal presiden PKR


Anwar Ibrahim kekal sebagai presiden PKR bagi penggal 2022-2024 selepas diumum menang tanpa bertanding dalam pemilihan untuk jawatan tertinggi parti itu, umum Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2022.

ANWAR Ibrahim sekali lagi mengekalkan jawatan presiden PKR bagi penggal 2022-2024 selepas menang tanpa bertanding, umum Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

“Mengulangi sejarah Pemilihan Keadilan 2018, saudara Anwar sekali lagi menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini. 

“Ini adalah penghormatan terbesar daripada akar umbi PKR,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pagi ini.

Dalam pada itu pemilihan bagi merebut jawatan naib presiden PKR telah menarik 18 calon setakat ini, selepas Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin menyerahkan namanya malam tadi.

Antara yang menawarkan diri untuk empat kerusi naib presiden ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminudin Harun.

Naib presiden lantikan Chang Lih Kang yang juga ahli Parlimen Tanjong Malim turut menawarkan diri, selain Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Bekas pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador yang berpindah cabang ke Gombak, Selangor turut mencuba nasib. Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail juga mencalonkan diri bertanding naib presiden.

Bekas naib presiden Mustafa Kamil Ayub yang memegang jawatan semasa penggal 2007 hingga 2010 turut menawarkan diri sekali lagi.

Tiga lagi ahli Parlimen turut mendaftar diri bertanding naib presiden iaitu Chan Ming Kai (Alor Setar), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), dan Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar).

Tujuh lagi yang mahu mencuba nasib ialah wakil rakyat negeri G Manivannan (Adun Hutan Melintang), G Gunarajah (Adun Sentosa), Yek Diew Ching (Adun Chuah), dan R Summugam (Adun Bukit Selambau).

Bekas timbalan pengerusi PKR Perak MA Tinagaran yang pernah menjadi pegawai kepada bekas naib presiden PKR Xavier Jayakumar juga menawarkan diri selain Naib Pemuda AMK, S Thiban.

Antara tiga lagi penyandang naib presiden, Tian Chua mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatannya, selain Rafizi Ramli menawarkan diri untuk jawatan timbalan presiden dan Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatannya pada 2018.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Zaliha Mustafa berkata Anwar adalah calon tunggal untuk jawatan presiden, manakala Rafizi dan Saifuddin sahaja yang dicalonkan untuk jawatan nombor dua parti setakat ini.

Bagi jawatan Ketua Wanita PKR dan Ketua AMK, Zaliha berkata dua pencalonan telah diterima bagi setiap jawatan. – 12 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen