MySejahtera perlu untuk fungsi lain selain daftar masuk, kata Khairy


Raevathi Supramaniam

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya berpandangan aplikasi MySejahtera perlu terus digunakan untuk tujuan kawal wabak, menekankan ianya bukan untuk sekadar daftar masuk sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2022.

APLIKASI MySejahtera bukan semata-mata untuk tujuan daftar masuk tetapi ada modul lain yang berkaitan untuk tujuan pengawalan wabak, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin di Dewan Negara hari ini.

Khairy berkata demikian menjawab soalan mengenai berapa lama lagi aplikasi MySejahtera perlu digunakan, terutamanya dengan negara akan masuk ke fasa peralihan ke endemik esok.

“Kementerian Kesihatan berpendapat terdapat keperluan untuk terus menggunakan aplikasi itu,” kata Khairy kepada Dewan Negara semasa ucapan penggulungannya.

“Sehingga kini, 20 juta notifikasi telah dihantar kepada pengguna aplikasi tersebut. Juga terdapat 17 juta perintah pengasingan rumah dan penilaian diri.

“Untuk MySJ Trace, terdapat 7.1 juta pengguna. Kira-kira 54,444 individu yang diuji positif memuat naik maklumat ini ke aplikasi dan 173,274 kontak rapat yang dikenal pasti.

“Dua bilion laporan juga telah diterima melalui aplikasi ini melalui alat penilaian rumah manakala 80 juta keputusan ujian RTK-Antigen telah dimuat naik ke MySejahtera,” kata Khairy.

Alat penilaian rumah amat penting sekarang kerana lebih 97 peratus daripada mereka yang didapati positif berada di bawah pengasingan di rumah, katanya.

“KKM memerlukan aplikasi ini untuk pantau mereka. Ada yang tiada gejala, ada yang bergejala ringan tetapi ada yang kesihatan merosot semasa berada di rumah.

“Walaupun alat penilaian rumah pada aplikasi, anda boleh lihat siapa yang tidak sihat dan perlu dimasukkan ke hospital atau dibawa ke pusat kuarantin. Kami mahu kurangkan jumlah yang mati sebelum tiba di hospital.”

Kini negara dalam peralihan, aplikasi itu akan digunakan untuk pelancong yang masuk ke Malaysia, termasuk untuk sahkan sijil vaksin dan protokol serta prosedur Covid-19, katanya.

“MySejahtera telah terbukti meringankan dan membantu mengawal pandemik. Kementerian berpendapat masih terdapat keperluan untuk menggunakan aplikasi ini semasa fasa peralihan.

Keputusan sama ada untuk terus menggunakan fungsi daftar masuk itu bagaimanapun akan ditentukan dalam masa beberapa minggu lagi, katanya.

MySejahtera diperkenalkan pada 20 April 2020 dengan hanya tiga modul, dan kini ianya mempunyai 15 modul, dengan jumlah keseluruhan ianya dimuat turun sudah lebih 38 juta kali.

Persoalan tentang pemilikan, pengurusan dan data yang disimpan dalam aplikasi ini menjadi topik hangat seluruh negara baru-baru ini.

Khairy hari ini memberi jaminan kepada orang ramai data jutaan individu adalah hak mutlak kerajaan. – 31 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen