Lesen harta intelek MySejahtera dijual RM338.6 juta, lapor media


Aplikasi MySejahtera diperkenalkan untuk kegunaan umum pada April 2020 manakala pengurus aplikasi itu MySJ Sdn Bhd ditubuhkan pada September 2020, hampir lapan bulan selepas Covid-19 melanda negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2022.

SYARIKAT pembangun aplikasi MySejahtera Entomo Malaysia Sdn Bhd akan menjual harta intelek dan lesen perisian aplikasi berkenaan kepada pengurusnya MySJ Sdn Bhd pada harga RM338.6 juta, lapor portal berita kesihatan CodeBlue.

Merujuk dokumen saman mahkamah oleh salah satu pemegang saham MySJ, P2 Asset Management Sdn Bhd, laporan itu menyebut jualan hak itu adalah untuk tempoh sehingga 2025. Entomo sebelum ini dikenali sebagai KPISoft Malaysia Sdn Bhd, yang membangun dan memiliki perisian yang dipakai pada aplikasi MySejahtera.

KPISoft yang ditubuhkan pada 2010 menukar namanya kepada Entomo pada 24 Februari 2021.

Maklumat yang terdedah dalam pertikaian mahkamah antara pemegang saham MySJ terkait dengan kontroversi yang timbul berhubung aplikasi MySejahtera susulan pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Isu yang berbangkit dalam pendengaran PAC ialah berkenaan kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk MySejahtera.

Pada pendengaran itu PAC dimaklumkan aplikasi itu dibangunkan untuk kerajaan tanpa kontrak dan pembangunnya sudah menjual aplikasi berkenaan kepada MySJ.

Ini memaksa Kementerian Kesihatan untuk berunding terus dengan MySJ dan tidak melakukan tender terbuka seperti kebiasaan untuk projek bernilai tinggi.

PAC yang bertanggungjawab memantau ketelusan perbelanjaan kerajaan melihat ini sebagai amalan yang buruk.

Memetik dokumen mahkamah, CodeBlue melaporkan KPISoft memberi kepada MySJ hak untuk menggunakan perisian aplikasi MySejahtera.

MySJ ditubuhkan pada 23 September 2020, hampir lapan bulan selepas Covid-19 melanda Malaysia. Putrajaya mengenakan perintah kawalan pergerakan bermula Mac 2020 dan sebulan selepas itu memperkenalkan penggunaan aplikasi MySejahtera.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kelmarin mendesak kerajaan menjelaskan kenapa aplikasi MySejahtera tidak dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebaliknya dijual kepada syarikat swasta, sehingga membangkitkan isu ketelusan dan keselamatan melibatkan data peribadi rakyat.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan kerajaan tidak menjual aplikasi itu dan memberi jaminan data peribadi rakyat yang terkandung dalamnya selamat. – 28 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen