ANWAR Ibrahim mahu kerajaan menjelaskan kenapa aplikasi MySejahtera tidak dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebaliknya dijual kepada syarikat swasta, sehingga membangkitkan isu ketelusan dan keselamatan melibatkan data peribadi rakyat.
Ahli Parlimen Port Dickson juga mempersoalkan kenapa aplikasi pengurusan Covid-19 itu dijual tanpa tender terbuka.
“Apa sebab-sebab MySJ Sdn Bhd menjadi satu-satunya syarikat yang ditimbangtara untuk projek ini?
“Apakah kerajaan Malaysia sering menganugerahkan individu-individu atau syarikat-syarikat yang menjalankan CSR untuk manfaat rakyat Malaysia dengan kontrak yang lumayan?” tanyanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan membangkitkan pertanyaan itu susulan perkara yang berbangkit pada sidang Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Khamis lepas tentang penjualan aplikasi MySejahtera kepada sebuah syarikat swasta.
Katanya, MySJ Sdn Bhd dilantik oleh KKM secara runding terus untuk mengambil alih aplikasi MySejahtera, atas kebenaran Jemaah Menteri pada 26 November 2021.
PAC pada Disember 2021 bagaimanapun berpandangan operasi aplikasi itu sepatutnya diuruskan oleh kerajaan tanpa kos tambahan kerana ia sudah menjadi aset penting dalam pengurusan kesihatan negara.
Anwar turut mempersoalkan kepakaran MySJ Sdn Bhd menguruskan MySejahtera dan jaminan keselamatan data yang terkumpul dalam aplikasi itu tidak akan disalahguna oleh mana-mana pihak.
“Apakah syarat-syarat kontrak tertakluk kepada jaminan yang dibuat KKM sebelum ini tentang data kesihatan peribadi, dasar kerahsiaan MySejahtera dan undang-undang negara yang mengawalselia kerahsiaan data individu?
“Apakah peranan dan tanggungjawab MySJ Sdn Bhd dalam memastikan data yang dikongsi rakyat Malaysia melalui MySejahtera atas dasar mandat awam tidak akan digunakan sama sekali untuk tujuan pemasaran, pembangunan produk, pemantauan, mahupun untuk tujuan yang berunsur diskriminasi?” tanyanya.
MySejahtera yang awalnya digunakan untuk pengesanan kontak rapat jangkitan Covid-19 pada pertengahan 2020 kemudiannya dipakai untuk pengurusan janji temu vaksinasi.
Ia antara lain merekodkan antaranya kecenderungan pergerakan seseorang selain maklumat kesihatan peribadi.
Dalam keterangan kepada PAC, pegawai KKM berkata MySJ Sdn Bhd tiada kaitan dengan KPISoft, syarikat yang membangunkan aplikasi itu sebagai inisiatif CSR. KPISoft sejak itu menukar namanya kepada Entomo.
“Dakwaan bahawa tidak ada kaitan antara KPISoft/Entomo dan MySJ Sdn. Bhd mesti diteliti dan disiasat.
“Para pengarah MySJ Sdn. Bhd. termasuk dua orang pengasas KPISoft,” kata Anwar.
Tambahnya, pengarah MySJ Sdn Bhd mempunyai kaitan politik dan perniagaan dengan beberapa parti politik dalam kerajaan, antaranya CEO Sapura Energy Shahril Shamsuddin dan Megat Najmuddin Megat Khas.
Majoriti saham MySJ Sdn Bhd dimiliki oleh Revolusi Asia Sdn Bhd yang 88% sahamnya dimiliki pengasas KPISoft, kata Anwar.
“Dalam kata lain, 71.2% saham MySJ Sdn Bhd dimiliki oleh dua pengasas KPISoft yang membangunkan aplikasi MySejahtera.
“Untuk mengatakan bahawa tidak ada kaitan antara KPISoft/Entomo dan MySJ Sdn. Bhd. adalah tidak jujur,” tambah Anwar.
Pada November 2020, KKM berkata data yang terkumpul melalui MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh kementerian itu dan diselia oleh Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan dan Majlis Keselamatan Negara.
Sebulan kemudian CyberSecurity Malaysia menjamin data MySejahtera selamat.
“Data-data ini digunakan hanya untuk memantau Covid-19 dan tidak dikongsi dengan mana-mana pihak ketiga kerana ia tertakluk kepada dasar kerahsiaan,” kata badan itu. – 27 Mac, 2022.
Komen