SETIAP data dan maklumat yang diperolehi hasil penggunaan MySejahtera adalah hak milik mutlak kerajaan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KPI Soft, pihak yang membangunkan aplikasi itu menandatangani perjanjian kerahsiaan pada 1 April, 2020.
“Terma utama dalam perjanjian itu ialah setiap data dan maklumat yang diperolehi menerusi MySejahtera adalah milik mutlak kerajaan.
“Saya ingin memberi jaminan semua maklumat disimpan dalam MySejahtera dilindungi dan hanya untuk kegunaan Kementerian Kesihatan bagi tujuan pengurusan pandemik.
“Penggunaan dan pengurusan data Sejahtera ditadbir urus mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Perubatan 1971,” katanya ketika menjawab soalan dibangkitkan ketika usul berkenaan aplikasi MySejahtera.
Khairy turut memberi jaminan data diperolehi disimpan di pusat data di Kuala Lumpur dan bukan di luar negara seperti didakwa.
“Data itu disimpan di pusat Data AIMST di sini, di Kuala Lumpur. Maklumat itu dimuat naik ke awan setiap hari dan hanya boleh diakses untuk penggunaan aplikasi MySejahtera dan mana-mana aplikasi sokongan yang berkaitan dengan pandemik.”
Maklumat daftar masuk yang disimpan pada aplikasi itu juga akan dipadamkan dan tidak dapat dipulihkan selepas 90 hari, katanya.
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) turut menjalankan ujian penembusan dan kelemahan sebelum aplikasi itu dilancarkan, kata Khairy.
“Nacsa juga menjalankan audit bulanan pada pelayan. Pusat Kawalan dan Koordinasi Siber Negara (NC4) memantau aplikasi untuk mengesan sebarang pelanggaran.
“Jika sesiapa cuba log masuk dan mencuri data tanpa kebenaran, kami akan tahu.
“Berdasarkan faktor ini, saya ingin beri jaminan kepada orang ramai, setiap data dan maklumat yang diperolehi hasil penggunaan MySejahtera adalah hak milik mutlak kerajaan dan disimpan dengan selamat.
“KKM akan sentiasa pastikan aspek ini tidak terjejas.”
Persoalan tentang pemilikan
Pemilikan dan pengurusan aplikasi MySejahtera menjadi topik hangat seluruh negara baru-baru ini berikutan pendedahan yang KPI Soft, kini dikenali sebagai Entomo, menjual lesen harta intelek dan perisian aplikasi itu kepada MySJ Sdn Bhd pada harga RM338.6 juta.
Penjualan itu menimbulkan persoalan tentang keselamatan data yang terkandung dalam MySejahtera, terutamanya apabila mendedahkan Entomo dimiliki oleh syarikat Singapura.
Khairy juga menjelaskan walaupun Entomo berpangkalan di Singapura, pemegang saham syarikat itu sebahagian besarnya adalah warganegara Malaysia.
“Mereka berpangkalan di Singapura kerana lebih mudah untuk mendapatkan pelabur, seperti syarikat teknologi lain, sama seperti Grab pada masa lalu.
“Saya faham keputusan perniagaan mereka, tetapi kelihatan buruk,” kata Khairy.
Khairy juga berkata, kerajaan tidak membayar satu sen pun kepada mana-mana pihak untuk penggunaan pengurusan MySejahtera.
“Tiada bayaran dibuat kepada KPI Soft, Entomo atau MySJ. Satu-satunya bayaran yang kami bayar ialah kepada Google, untuk penggunaan Google API.” Khairy juga menafikan khabar angin dakwaan penjualan aplikasi itu kepada syarikat swasta akhir tahun lepas.
“Pada 26 November 2021, hak milik MySejahtera telah dipindahkan daripada MKN kepada KKM bagi memudahkan aplikasi, pemantauan, pengesanan kontak dan memperkukuh sistem kesihatan awam.
“Satu jawatankuasa telah ditubuhkan yang dipengerusikan oleh saya, dan agensi seperti Mampu, Nacsa, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Mosti) dan Malaysia Digital Economy Corporation (Mdec) adalah sebahagian daripada jawatankuasa ini untuk tujuan rundingan dengan pengendali MySejahtera.
“Justeru, tiada isu mengenai penjualan MySejahtera kepada syarikat swasta. Ia adalah pemindahan syarikat daripada agensi kerajaan kepada KKM.”
Mengenai RM338.6 juta yang dikhabarkan kerajaan akan membayar MySJ untuk aplikasi itu, Khairy berkata jumlah itu dibesar-besarkan.
“Kami dalam peringkat akhir rundingan, pastinya tidak sampai RM300 juta.
“Saya tahu semua orang mahu tahu berapa banyak yang kami akan bayar, tetapi ia akan diumumkan oleh kerajaan sebaik sahaja ia dimuktamadkan.”
Katanya berkata kerajaan juga memutuskan untuk berunding terus dengan MySJ kerana ia lebih mudah berbanding bermula dari awal dengan syarikat lain.
Khairy juga mengesahkan beliau akan hadir untuk beri keterangan dan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berkaitan aplikasi tersebut. – 31 Mac, 2022.
Komen