BEKAS kakitangan Utusan Melayu Sdn Bhd akan memohon semula kepada mahkamah untuk memaksa syarikat pelikuidasi UHY Advisory (KL) Sdn Bhd membayar pampasan kepada mereka.
Ia berikutan keengganan syarikat tersebut membayar faedah penamatan atau pampasan kepada lebih 800 pekerja yang diberhentikan selepas Utusan Melayu menghentikan operasi pada Oktober 2019.
Bekas pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu Mohd Taufek Razak berkata, mereka akan memfailkan semula kes tersebut ke Mahkamah Tinggi sebelum 21 Mac ini.
“Kita akan failkan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk lihat semula susulan tindakan terbaru oleh UHY, yang tidak mahu membayar pampasan mengikut perjanjian kolektif (CA) antara pekerja dan majikan.
“Sekarang ini, kita dah bincang dengan peguam, bekas ahli NUJ cawangan Utusan Melayu, (kami) akan failkan semula ke mahkamah,” kata Taufek kepada The Malaysian Insight.
Taufek mengulas kenyataan UHY Advisory semalam yang mengesahkan syarikat pelikuidasi itu tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membuat bayaran itu.
Alasannya, hanya pekerja dinyatakan dalam Akta Pekerja iaitu pekerja bergaji bawah RM2,000 dan pekerja buruh kasar saja layak mendapat faedah penamatan.
Taufek bagaimanapun menjelaskan, CA yang ditandatangani melibatkan 800 kakitangan dalam tiga kumpulan, salah satunya kumpulan eksekutif yang terdiri daripada editor.
Dua lagi kategori ialah pekerja yang menganggotai NUJ –kalangan wartawan, jurufoto dan artis pereka grafik serta kumpulan sokongan.
Saman yang dikemukakan Taufek pula hanya mewakili kira-kira 200 kakitangan NUJ Utusan Melayu, katanya.
Taufek membangkitkan, CA ditandatangani UHY Advisory dengan Utusan Melayu antara lain pekerja boleh menuntut manfaat yang terkandung di dalam CA termasuklah manfaat penamatan.
Jelasnya, keputusan UHY Advisory itu tidak adil kepada anggota NUJ berkenaan yang meraih gaji lebih RM2,000 sebulan.
“Ahli NUJ gaji mereka semua RM2,000 ke atas, ada cadangan hendak bagi sagu hati, tapi bawah RM5,000.
“Sedangkan pampasan jika mengikut CA mereka boleh dapat lebih RM100,000 seorang, pampasan utama ikut CA yang banyak dia (syarikat pelikuidasi) tak nak bayar,” kata Taufek.
Seorang bekas kakitangan Utusan Malaysia, Farhana Joni juga kecewa dan sedih kerana UHY Advisory enggan membayar pampasan tersebut.
Ia tidak setimpal dengan risiko yang dihadapi mereka sewaktu bertugas sebagai wartawan di akhbar Utusan Malaysia yang sering dikaitkan dengan parti Umno.
Katanya, ia menyakitkan ramai bekas kakitangan yang terjejas mental dan fizikal ekoran tindakan pemberhentian melalui sekeping memo pada 9 Oktober, 2019.
“Sedangkan ketika masih bertugas, pekerja khususnya wartawan dilemparkan dengan pelbagai kenyataan seperti penjilat kerajaan, pencacai Umno malah ada yang pernah dihalau daripada menghadiri majlis.
“Tapi semua itu ditelan sebab masing-masing faham itu lumrah kerjaya sebagai orang media. Dan akhirnya, kini pihak pengurusan lepas tangan pula,” kata Farhana.
Bekas kakitangan NUJ Utusan Melayu memfailkan tuntutan berkaitan pampasan mereka di Mahkamah Tinggi pada 13 Ogos, 2020.
Minggu lalu UHY Advisory mengumumkan, segala hutang yang wajib dibayar kepada pekerja seperti tunggakan gaji sudah dibayar dan kini mereka hanya berhutang pembayaran baki cuti kakitangan.
Turut dilunaskan, hutang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Potongan Cukai Berjadual Lembaga Hasil dalam Negeri dan gratuiti kepada kakitangan layak, kata syarikat itu.
Ia turut menjangka akan memperolehi lebihan tunai RM86 juta selepas menjual aset utama Utusan Melayu menjelang hujung tahun ini, yang akan digunakan untuk membayar kepada kreditor.
Utusan Melayu menamatkan perkhidmatan semua pekerjanya pada 31 Oktober,2019 berikutan prestasi syarikat yang merosot.
Lembaga pengarah Utusan Melayu pada 7 Oktober meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory sebagai pelikuidasi interim.
Pengerusi eksekutifnya Abd Aziz Sheikh Fadzir ketika itu berkata langkah tersebut terpaksa diambil kerana lembaga pengarah berpendapat syarikat tidak lagi mampu meneruskan perniagaan.
Sebanyak 70% kepentingan Kumpulan Utusan dalam anak syarikat, Dilof Sdn Bhd seterusnya dijual kepada satu syarikat dikaitkan dengan jutawatan Syed Mokhtar Albukhary, Aurora Mulia.
Aurora Mulia kemudian ditukar nama menjadi Media Mulia Sdn Bhd yang turut memegang permit penerbitan Utusan.
Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! kemudiannya diterbitkan semula ke pasaran pada 20 Julai, 2020. – 14 Mac, 2022.
Komen