UMNO sudah mengenal pasti dua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti yang didakwa sering membocorkan maklumat mesyuarat badan itu, lapor Utusan Malaysia.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan perkara itu dalam satu ucapan kepada pemimpin Umno Melaka di Masjid Tanah, pada Isnin lalu, kata laporan itu.
Sumber yang dipetik oleh Utusan Malaysia berkata Zahid berang dengan tindakan dua ahli MKT Umno itu dan berjanji akan mengambil tindakan tegas termasuk memecat mereka dari Umno.
“Zahid maklumkan dua (MKT) iaitu masing-masing lelaki dan wanita dikenal pasti hasil siasatan dilakukan.
“Umno tidak lagi boleh bertolak ansur dengan sikap ahli yang cuba menghancurkan parti.
“Presiden Umno akan umumkan nama mereka tidak lama lagi serta tindakan yang mungkin diambil iaitu memecat keahlian mereka daripada Umno,” katanya, seperti dipetik laporan tersebut.
MKT Umno mengadakan mesyuarat yang terakhir pada 19 Februari lalu di Janda Baik, Pahang, yang antara lain membincangkan kedudukan kerjasama politik dengan Bersatu.
Keputusan mesyuarat itu tidak dihebahkan kepada umum, sehinggalah selepas bekas setiausaha agung Umno dan Barisan Nasional Annuar Musa meminta penjelasan mengenai keputusan mesyuarat.
Menurut Annuar, beliau dapat maklumat Zahid menyampaikan keputusan Umno kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin melalui sepucuk surat pada 26 Februari.
Pada 4 Mac, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengesahkan perkara yang dibangkitkan oleh Annuar iaitu Umno tidak akan berkerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang dan hanya menyokong kerajaan Perikatan Nasional sehingga Parlimen bubar. – 17 Mac, 2021.
Komen