UTUSAN Malaysia akan mula diterbitkan semula pada Julai dengan 48 halaman, menurut para wartawan yang diserap ke dalam syarikat baharu pemilik akhbar tersebut.
Bagaimanapun, tarikh penerbitan baharu akhbar tersebut dan satu lagi akhbar berkaitan, Kosmo! Masih belum dapat dipastikan, menurut wartawan itu yang kini kakitangan Media Mulia Sdn Bhd.
Mereka merupakan antara hampir 200 kakitangan yang dilantik dan ditempatkan di seluruh Semenanjung Malaysia dengan ibu pejabat baharu bertempat di Jalan Riong, Bangsar.
Menurut sumber itu, mereka berkongsi bangunan bersama kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), salah satu syarikat bawah konglomerat media, Media Prima Berhad.
Aurora Mulia, syarikat yang dikaitkan dengan jutawan Syed Mokhtar Albukhary, merupakan pemegang saham terbesar Media Prima dan Media Mulia.
“Kakitangan kita di Kuala Lumpur ada dalam 180 orang termasuk bahagian pentadbiran. Kira-kira seramai 56 kakitangan editorial Utusan dan 53 kakitangan di Kosmo.
“Jurugambar pula ada lapan orang dan beberapa orang artis grafik,” kata wartawan yang pernah berkhidmat bersama Utusan Malaysia hampir 20 tahun.
Beliau berkata, Utusan baharu juga akan menawarkan bentuk laporan berita lebih adil dan seimbang.
“Laporan kita lebih seimbang, tidak cenderung kepada mana-mana parti politik. Kita akan banyakkan penulisan berbentuk analisis,” tambahnya.
Beliau turut berkata, penerbitan akhbar akan tetap diteruskan dan setakat pengetahuan beliau, akhbar akan diterbitkan setiap hari dengan 48 muka surat.
“Kita akan bergerak melalui kedua-dua platform, akhbar dan atas talian,” jelasnya.
Seorang lagi sumber menjelaskan, slogan baharu Utusan Malaysia iaitu “Pemikiran Baharu” menunjukkan corak pemberitaan Utusan juga berubah.
“Sejujurnya semua wartawan tidak tahu bagaimana laporan berita yang akan dilakukan kelak. Tetapi kami difahamkan, cara pemberitaan juga lain sesuai dengan slogan baru kami,” jelasnya.
Beliau turut berkata, gaji yang diterimanya tidaklah setinggi ketika Utusan dahulu namun beliau tetap bersyukur dapat kembali bekerja.
“Saya tidak pasti gaji pekerja-pekerja lain, tetapi seperti saya, tidaklah gaji serendah waktu awal-awal menjadi wartawan. Cuma kurang sikit daripada dahulu,” tambahnya.
Para wartawan dan jurugambar yang dilantik juga terdiri daripada kakitangan baharu dan juga dari jawatan kanan ketika bersama Utusan dahulu, tambahnya.
Seorang sumber yang dilantik mengetuai akhbar itu di selatan tanah air berkata, Utusan dan Kosmo akan menjadi badan media yang bebas dan tidak menjadi lidah rasmi mana-mana organisasi politik.
“Pelaporan berita kita akan menjadi lebih seimbang dan fokus kepada isu-isu rakyat, kemanusiaan, dan sebagainya. Kita akan memberi layanan dan laporan sama rata kepada mana-mana ahli politik.
“Saya tidak pasti kita akan menjadi mana-mana lidah rasmi untuk parti politik tetapi yang pasti, laporan berita kita akan lebih terbuka,” kata beliau.
Beberapa wartawan Utusan turut mengesahkan, mereka sudah masuk ke pejabat sejak 15 Jun lalu. Di Kuala Lumpur, semua wartawan dan editor kini sedang merangka laporan-laporan berita yang akan dikeluarkan pada Julai akan datang.
Penerbitan baharu ini walaubagaimanapun tidak membuka cawangan di Sabah dan Sarawak, kata sumber.
Seorang wartawan dari utara tanah air memberitahu, setiap wakil negeri hanya mempunyai seorang wartawan dan selebihnya, menggunakan khidmat stringer atau wartawan sambilan.
“Kita akan mula terbit bulan Julai tetapi tarikh belum ditetapkan. Setiap negeri hanya menggunakan seorang wartawan dan selebihnya, beberapa stringer akan dilantik.
“Jumlah stringer setiap negeri belum pasti, proses lantikan masih berjalan,” jelas beliau.
Pada Oktober tahun lepas, seramai lebih kurang 800 staf Utusan Malaysia hilang kerja apabila syarikat penerbitan akhbar itu menghentikan operasi dengan notis 24 jam.
Sebelum syarikat itu digulung, syarikat Utusan menghadapi masalah kewangan yang kritikal sejak 2018 apabila lewat membayar gaji kepada para kakitangan.
Syarikat itu juga tidak dapat membayar pakej Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) yang ditawarkan kepada kakitangan terlibat. – 30 Jun, 2020.
Komen