Dengki sang pengkritik filem


Daniyal Kadir

KRITIKAN filem di negara ini sering disalah erti sebagai satu percubaan untuk menghancurkan potensi komersial sesebuah filem yang muncul di panggung wayang.

Malah lebih buruk lagi apabila kritikan filem dipandang sebagai tindakan menjatuhkan sesebuah filem, pembikin dan penerbitnya, berniat buruk untuk memperleceh budaya kaum tertentu dan lebih parah apabila kritikan filem dipandang sebagai manifestasi sifat dengki.

Sesuatu yang membimbangkan apabila kritikan filem diambil secara berlebihan sebagai personal dan tidak dilihat sebagai usaha perbincangan sesuatu karya.

Namun begitu, ruang kritikan filem di negara ini semakin kabur apabila muncul banyak ulasan-ulasan ‘pop corn’ di media sosial khususnya YouTube dan Facebook.

Saya tertarik bagaimana kritikus filem yang dikagumi, Abror Rivai melalui catatan ringkas di Facebooknya mengkategorikan pewacana filem kepada tiga bahagian iaitu penggosip, pengulas dan pengkritik filem.

Dalam mengenali makna dan fungsi kritikal filem, saya lebih cenderung untuk mengenang kembali apa yang pernah ditulis oleh sarjana filem tanah air, Dr Norman Yusoff dalam tulisannya yang pernah disiarkan di Mingguan Malaysia pada 4 Jun 2017.

Norman dalam tulisan berkenaan menjelaskan bahawa melihat ulasan sebagai sebahagian daripada aktiviti kritikan filem bukanlah sesuatu yang bermasalah.

Namun Norman menggariskan bahawa sesebuah kritikan filem itu bukan semata-mata memberikan pertimbangan nilai, sebaliknya berkeupayaan membuat tafsiran terhadap sesebuah filem yang disentuh.

Norman juga menegaskan bahawa sesuatu ulasan filem itu perlu mengelak daripada melaksanakan pertimbangan berlebih-lebihan termasuk mendakwa sesebuah filem itu terlalu hebat atau terlalu lemah.

Dalam tulisan sama, Norman menjelaskan bahawa seseorang pengkritik yang baik akan sentiasa mengambil kira kelebihan dan kekurangan sesebuah karya melalui sisi hujahan dan kupasan yang berpaksikan kepada landasan ilmu dan bukan berbentuk dakwaan tidak berasas.

Norman melihat untuk menjadikan sesebuah ulasan filem itu sebuah kritikan, ia tidak sewajarnya berfungsi dalam medan publisiti untuk mempromosikan sesebuah filem berkenaan, sebaliknya ia perlu menuju ke arah lebih spesifik dengan menilai sumbangan naratif, tema, sinematografi atau suntingan terhadap keseluruhan bentuk filem berkenaan.

Norman melihat kritikan sebagai sebuah cabang seni dan berpandukan kepada apa yang dibincangkan ini, kita dapat memahami bahawa kritikan bukan boleh ditulis secara sembarangan, tetapi wajar berlandaskan kepada kefahaman mendalam dan ilmu yang mencukupi, khususnya dalam bidang filem dan cabang-cabang seni yang lain.

Dalam kesimpulan terhadap tulisannya, Norman melihat kritikan mempunyai fungsi membina budaya perfileman lebih intelektual dan dalam masa sama mampu meningkatkan tahap apresiasi filem dalam kalangan penonton.

Penjelasan ringkas namun padat daripada sarjana filem ini memberikan panduan berguna bagaimana sewajarnya kita menanggapi sesebuah kritikan filem. Ia sama sekali tidak boleh dilihat dalam kerangka personal atau diperhatikan sebagai sebuah percubaan untuk meranapkan sambutan terhadap sesebuah karya.

Namun ia harus dibaca dalam pengertian lebih baik sebagai satu usaha untuk menyemarakkan kefahaman masyarakat mengenai ilmu perfileman dan dapat memerhatikan karya secara lebih teliti dan baik.

Berbalik kepada kategori yang dipersembahkan oleh Abror tadi, bagaimana agaknya kita mahu mengembalikan suasana kritik yang sebenar dan menghindarkan daripada tulisan-tulisan gosip yang menyamar kritikan ini berleluasa?

Sudah tentu ia hanya dapat ditangani jika kita mampu meluaskan ruang kepada kritikan sebenar. Ini kerana ruang yang diteroka penggosip filem amat terhad, namun publisiti yang dinikmati mereka begitu besar.

Ruang terhad ini hanya berkisar persoalan-persoalan remeh teknikal dalam sesebuah filem, misalnya tumpuan terhadap color grading. Mengapa color grading juga perlu diulas?

Jika pun hal-hal teknikal ini disentuh, ia tidak sewajarnya disentuh sebagai semata-mata aspek teknikal dan pembuatan, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk diteliti sebagai memberi makna dalam menyampaikan cerita dan emosi karya.

Kritikan filem bukanlah memberikan rating, bintang sahaja, namun bagaimana kita berjaya mewujudkan polemik yang relevan untuk membolehkan sesebuah karya itu dibicarakan.

Malaysia berada di jalur yang bersimpang siur. Kefahaman khalayak mengenai fungsi kritikan masih kelabu dan penggosip filem pula muncul mengelirukan.

Panduan daripada tulisan Norman tadi amat baik untuk dihadamkan, malah dalam masa sama tulisan-tulisan lebih baik yang mewujudkan warna kritikan sebenar harus diraikan dengan sewajarnya.

Namun di musim media sosial ini, sesiapa juga boleh mengaku pengkritik atau pengulas, bukan?

Dan yang menerima kritikan dan ulasan juga boleh selalu sahaja marah, bukan? – 6 Mac, 2022.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen