Krew filem 'Rust' saman Alec Baldwin


Pengarah seni filem 'Rust' maut tertembak dengan pistol berisi peluru hidup yang dilepaskan pelakon Alec Baldwin di set penggambaran bulan lepas. – Gambar EPA, 11 November, 2021.

AKTOR Amerika Syarikat (AS) Alec Baldwin disaman oleh krew filem “Rust” susulan kes penggambaran maut melibatkan pengarah seni di lokasi bulan lepas, kata peguam hari ini.

Saman kecuaian itu juga menamakan krew yang menjaga bahagian senjata Hannah Gutierrez-Reed, yang mendakwa melalui peguamnya beliau diperangkap bagi kematian Halnya Hutchins.

Ketua juruteknik pencahayaan filem bajet rendah Serge Svetnoy berkata dalam samannya, pembunuhan tidak sengaja itu “disebabkan kecuaian dan kesilapan” pelakon utama dan penerbit Baldwin serta yang lain.

“Ringkasnya, tiada sebab peluru hidup diletakkan di dalam pistol .45 Colt itu atau di mana-mana set ‘Rust’, dan kehadiran peluru dalam pistol menimbulkan ancaman maut kepada semua orang di sekitarnya,” menurut saman yang difailkan kepada mahkamah Los Angeles.

Saman itu berkata Svetnoy berasa peluru itu “terbang” melaluinya dan mukanya terkena serbuk pistol.

Baldwin, penolong pengarah Dave Halls dan Gutierrez-Reed tidak mengikut amalan industri filem mengenai pengendalian senjata dan “membenarkan pistol dengan peluru hidup diacukan kepada orang yang masih hidup,” dakwa saman itu.

Pengarah sinematografi Hutchins ditembak dan terbunuh ketika Baldwin berlatih adegan dengan menembak pistol ke arah kamera.

Pemenang Emmy itu menerima senjata api itu daripada Halls, yang memaklumkan ia selamat. Beliau kemudian memberitahu penyiasat tidak memeriksa senjata itu sepenuhnya.

Peluru hidup menembusi Hutchins dan mengenai bahu pengarah Joel Souza.

Gutierrez-Reed yang berusia 24 tahun bertanggungjawab bagi senjata api dan peluru.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Rabu, peguamnya menegaskan sekali lagi beliau tidak tahu mengapa ada peluru digunakan di set itu.

Peguam Jason Bowles yakin berlaku sabotaj dan Gutierrez-Reed diperangkap. Pihaknya juga percaya lokasi kejadian itu juga telah diusik sebelum polis tiba.

Bowles berkata Gutierrez-Reed bertemu semula dengan penyiasat dari Sheriff Daerah Santa Fe, dan menawarkan untuk berkongsi maklumat tambahan dan penting dengan mereka.

Peguam daerah Santa Fe, Mary Carmack-Altwies, dalam satu wawancara disiarkan pada Rabu, menolak dakwaan konspirasi.

“Kami tidak mempunyai sebarang bukti,” katanya kepada ABC News. – AFP, 11 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen