BARISAN Nasional (BN) wajib menjelaskan kepada pengundi mengapa mereka menyokong pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang akan meningkatkan denda bagi kesalahan berkait Covid-19, kata Lim Guan Eng.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata Pakatan Harapan (PH) dan DAP telah mengambil pendirian tegas menentang cadangan pindaan sedemikian di Parlimen kerana kuasa zalim yang diberikan kepada penguatkuasaan dan hukuman serta denda kompaun berat yang dikenakan.
“Terdapat dua sebab utama mengapa pindaan ini tidak sepatutnya diluluskan. Pertama, ini adalah percubaan tidak jujur oleh kerajaan untuk menyalahkan rakyat untuk mengelak tanggungjawab atas kegagalan mereka menguruskan pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan kehilangan hampir 33,000 nyawa dan hampir 3.5 juta jangkitan.
“Kedua, hukuman yang berat boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat biasa dan kelangsungan perniagaan kecil yang tidak mampu membayar penalti dan denda kompaun yang berat serta membebankan,” kata setiausaha agung DAP itu.
Ketika ini Akta 342 memberikan kuasa kepada ketua pengarah kesihatan untuk memberikan jumlah kompaun maksimum RM1,000 kepada pesalah Akta 342 bagi mengelak daripada didakwa di mahkamah, berikutan pemansuhan Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Disember.
Kementerian Kesihatan mencadangkan kompaun maksimum RM1 juta untuk syarikat, namun kini hanya cadangkan RM500,000.
Kementerian bagaimanapun tidak bercadang menurunkan jumlah kompaun maksimum RM10,000 bagi individu yang disenaraikan dalam Rang Undang-undang (RUU) itu.
Bagi hukuman am, kementerian juga mencadangkan denda maksimum RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu.
Ini adalah kira-kira separuh daripada cadangan awal RUU, di mana denda maksimum RM100,000 dan penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya bagi pesalah individu dicadangkan.
Bagi badan korporat, Kementerian Kesihatan juga tidak bercadang untuk turunkan denda maksimum RM2 juta yang disenaraikan dalam RUU itu.
Lim berkata hukuman berat dan denda kompaun seperti itu boleh dikuatkuasakan sesuka hati dengan kuasa tidak terhad diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan yang tidak boleh dipersoalkan atau dicabar di bawah cadangan pindaan yang sama.
Beliau juga berkata Putrajaya licik dalam mengatur masa perbahasan dan meluluskan cadangan pindaan selepas pilihan raya Johor.
“Jelas sekali pindaan itu dirancang untuk diluluskan selepas PRN Johor, bagi mengelak kontroversi dan kesan buruk isu itu terhadap undian.
“Atas sebab ini, BN termasuk kedua-dua Umno, MCA dan MIC mesti tampil memberi penjelasan terhadap sokongan mereka kepada cadangan pindaan ini yang bertentangan dengan kepentingan rakyat,” kata Lim yang juga bekas menteri kewangan.
Tambah Lim tidak semua rakyat Malaysia atau syarikat mempunyai keupayaan kewangan untuk membayar denda yang tinggi.
“Bukan setiap rakyat Malaysia biasa kaya seperti Menteri yang mampu membayar denda RM10,000 dan setiap syarikat boleh bertahan jika dikenakan denda kompaun RM1 juta,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan harus menanggung kegagalan Covid-19 mereka dan bertanggungjawab sepenuhnya atas ketidakcekapan mereka menguruskan pandemik itu.
Lim berkata kerajaan perlu menguruskan peralihan pandemik kepada endemik dengan berkesan, dan menerima realiti yang masyarakat terpaksa hidup bersama Covid-19. – 2 Mac, 2022.
Komen