DAP akan terus menentang pindaan kontroversi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk meningkatkan kadar kompaun Covid-19, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha Agung DAP itu berkata kerajaan tidak seharusnya membebankan rakyat dengan mengenakan denda yang berat.
“DAP dan saya percaya Pakatan Harapan akan membantah pindaan Akta 342.
“Kita boleh sokong langkah pencegahan (ke atas Covid-19), tetapi bukan kenaikan denda daripada RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu,” katanya semasa perbahasan titah diraja.
Pada 20 Disember, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan telah memutuskan untuk menangguhkan perbahasan Akta 342 tahun ini.
“Saya dimaklumkan oleh pengerusi Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching-PH) bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Kesihatan, Sains dan Teknologi) meminta kerajaan menangguhkan rang undang-undang pindaan itu,” kata Menteri Kesihatan itu kepada Dewan Rakyat hari ini.
“Ini bukan kerana rang undang-undang pindaan itu ditolak tetapi terdapat butiran yang memerlukan perundingan lebih lanjut,” kata ahli Parlimen Rembau itu.
Lim percaya denda itu adalah tidak munasabah dan rakyat tidak seharusnya dipersalahkan atas kegagalan dalam prosedur operasi standard (SOP).
“Menteri pun langgar SOP. Di manakah kepimpinan melalui teladan?
“Malah Ahli Parlimen Sembrong (Hishamuddin Hussein) tidak mengikut SOP yang ditetapkan oleh beliau.
“Dan beliau hanya didenda RM1,000. Walaupun dinaikkan kepada RM10,000 ia tidak menjadi masalah baginya.
“Tetapi, untuk rakyat jumlah itu adalah besar.” – 1 Mac, 2022.
Komen