Putrajaya tangguh perbahasan Akta 342, kata Khairy


Chan Kok Leong

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perbahasan rang undang-undang pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit atau Akta 342 ditangguhkan kepada tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2021.

KERAJAAN memutuskan untuk menangguhkan perbahasan rang undang-undang pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit atau Akta 342 kepada tahun depan, kata Khairy Jamaluddin.

“Saya dimaklumkan oleh pengerusi Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching-PH) bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Kesihatan, Sains dan Teknologi) meminta kerajaan menangguhkan rang undang-undang pindaan itu,” kata Menteri Kesihatan itu kepada Dewan Rakyat hari ini.

“Ini bukan kerana rang undang-undang pindaan itu ditolak tetapi terdapat butiran yang memerlukan perundingan lebih lanjut,” kata ahli Parlimen Rembau itu.

Antara pindaan rang undang-undang itu ialah menaikkan kompaun maksimum bagi individu dan syarikat masing-masing kepada RM20,000 dan RM500,000 yang mendapat kritikan ramai apabila mereka mengatakan denda itu berlebihan dan tidak digunakan secara adil. 

Khairy berkata penangguhan itu perlu kerana ia penting bagi mendapatkan sokongan dua parti bagi rang undang-undang berkenaan.

“Ini supaya ada pematuhan awam. Jika kita mengundi hari ini dan tidak ada sokongan dwipartisan, ia akan memecahbelahkan rakyat.

“Selepas berbincang dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (Bera-BN) dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) sebentar tadi, kami bersetuju banjir adalah lebih penting dan perlu fokus pada itu.

“Oleh itu rang undang-undang itu akan ditangguhkan ke persidangan akan datang,” kata Khairy. – 20 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen