DAP tidak sokong cadangan naikkan denda kesalahan SOP Covid-19


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata rakyat sudah cukup terbeban dengan apa yang dilalui sepanjang pandemik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2022.

DAP hari ini mengulangi pendiriannya untuk tidak menyokong cadangan pindaan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang mencadangkan untuk meningkatkan denda bagi kesalahan di bawah Akta tersebut, khususnya kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pindaan yang dicadangkan itu mencetuskan pelbagai reaksi dan penangguhan undian rang undang-undang di Parlimen apabila ia dibentangkan bulan lepas, akan memberi Kementerian Kesihatan kuasa untuk mengenakan denda kompaun maksimum RM1,000 kepada individu kerana melanggar SOP dan denda maksimum RM500,000 untuk syarikat.

Jumlah awal yang dicadangkan untuk syarikat ialah RM1 juta tetapi telah dikurangkan.

Pada masa ini, semua kompaun denda di bawah Akta berkenaan ditetapkan kepada RM1,000.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mendedahkan pendirian parti itu sebelum pembentangan rang undang-undang seterusnya pada Mac, berkata individu dan syarikat telah cukup menderita dan tidak sepatutnya dibebani di bawah kemelesetan ekonomi semasa dengan denda yang lebih berat tertakluk kepada budi bicara kerajaan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata Pakatan Harapan (PH) sebelum ini juga memutuskan untuk tidak menyokong Akta 342 kerana kenaikan denda yang kontroversi.

Sebaliknya pembangkang mencadangkan syarikat yang terus mengingkari dan melanggar SOP ditutup.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menarik balik rang undang-undang itu buat sementara waktu apabila ia dibentangkan untuk perbincangan pada 20 Disember.

Khairy memberitahu parlimen kementeriannya telah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains dan Inovasi selaras dengan semangat Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan persekutuan dan PH.

Beliau berkata kebanyakan perkara substantif telah dipersetujui namun hanya terdapat beberapa butiran yang masih perlu dibincangkan.

Tambahnya jika rang undang-undang itu diluluskan tanpa persetujuan semua parti politik, ia akan menghalang kelancaran pelaksanaan pindaan itu. – 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen