2 bekas menteri, 3 timbalan menteri bertanding PRN Johor


Chan Kok Leong

Maszlee Malik adalah salah seorang bekas menteri yang bertanding di PRN Johor. Beliau mewakili PKR dan merebut kerusi DUN Layang-Layang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2022.

DUA bekas menteri dan tiga timbalan menteri adalah antara 239 calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Johor kali ini.

Mereka ialah bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik dan bekas menteri pertanian Salahuddin Ayub, manakala timbalan menteri yang bertanding pula ialah Mohd Puad Zarkashi, Shahruddin Md Salleh dan Liew Chin Tong.

Kecuali Puad, kesemua mereka pernah berkhidmat dengan kerajaan Pakatan Harapan dengan Shahruddin menjadi timbalan menteri dalam pentadbiran PH dan kemudiaannya pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.

Manakala, Maszlee, Salahuddin dan Shahruddin pula kini adalah ahli Parlimen masing-masing di Simpang Rengam, Pulai dan Sri Gading.

Maszlee dan Shahruddin bertanding merebut kerusi DUN- Layang-Layang dan Machap- di kawasan Parlimen mereka, sementara Salahuddin mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram.

Puad yang merupakan bekas ahli Parlimen Batu Pahat selama dua penggal (2008-2018) pula bertanding di kerusi DUN Rengit dibawah Parlimen Batu Pahat dan Liew yang juga bekas ahli Parlimen dua penggal bertanding merebut kerusi DUN Perling di Parlimen Pulai.

Seorang lagi wakil rakyat yang bertanding adalah Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong (Parti Bangsa Malaysia) yang merebut kerusi DUN Puteri Wangsa.

Setelah tamatnya proses penamaan calon hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan terdapat 239 orang calon dibenarkan bertanding untuk merebut 56 kerusi DUN dengan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional mendahului dengan 56 calon, diikuti PH (50), Pejuang (42), Muda (7), Warisan Sabah (6) PBM (4) serta Putra dan PSM masing-masing dengan seorang calon.

Selain itu, 16 orang calon Bebas pada PRN kali ini.

Antara calon Bebas ialah Najib Lep yang mempertahankan kerusi Bukit Pasar selepas digugurkan PAS.

Pada PRU 2018, Najib menang kerusi itu selepas menewaskan Noriah Mahat (BN) dengan majoriti 1,883 undi.

SPR turut mengumumkan terdapat dua pertembungan tujuh penjuru-di Tiram dan Kempas.

Manakala empat lagi pertandingan enam penjuru, lapan pertandingan lima penjuru, 35 pertandingan empat penjuru dan tujuh pertembungan tiga penjuru.

SPR turut mendedahkan 60 orang daripada 239 calon adalah calon “muda”, berusia bawah 40 tahun.

Jumlah itu terdiri daripada lapan calon berusia bawah 30 tahun dan 52 orang berusia antara 30 hingga 39 tahun, menurut data dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya dan dilaporkan Bernama, selepas proses penamaan calon berjalan pagi tadi.

Baki calon lain pula berumur 40 tahun ke atas dengan 72 orang berusia antara 40-49 tahun, 64 orang (50-59 tahun) dan 43 orang berusia 60 tahun ke atas.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata calon tertua berusia 71 tahun yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi DUN Bukit Permas.

Calon termuda berusia 26 tahun pula seramai dua orang yang mewakili Barisan Nasional di Mengkibol dan Pejuang di Tangkak.

Johor mempunyai 56 kerusi DUN dengan lebih daripada 2.59 juta pengundi berdaftar. SPR mensasarkan kadar keluar mengundi sebanyak 70%.

Hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac depan. – 26 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen