BEKAS menteri pendidikan Dr Maszlee Malik menyifatkan siasatan agensi antirasuah terhadapnya bertujuan memburukkan nama baiknya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga kini ahli PKR berkata beliau tiada apa-apa yang hendak disembunyikan dan mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan rekayasa dusta berbaur fitnah ini.
“Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan.
“Saya mengalu-alukan sebarang siasatan kerana tiada apa yang perlu disembunyikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, SPRM memaklumkan sudah membuka siasatan terhadap Maszlee selepas menerima dua laporan.
SPRM tidak mendedahkan butiran laporan berkenaan.
Malaysiakini yang memetik sumber bagaimanapun melaporkan siasatan tersebut ada kaitan dengan dakwaan rasuah melibatkan Maszlee semasa memegang jawatan sebagai menteri pendidikan antara Mei 2018 hingga awal Januari 2020.
Maszlee sebelum itu mendakwa agensi antirasuah menggunakan taktik mengugut terhadap kakitangannya selepas beliau lantang bersuara mendesak pihak berkuasa menyiasat Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Katanya, pegawai SPRM telah datang “mengganggu” pegawai-pegawainya di Simpang Renggam.
Kelmarin, Maszlee dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur untuk diambil keterangan kerana terlibat dalam satu perhimpunan di luar bangunan Parlimen pada 20 Januari. Beliau disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012. – 31 Januari, 2022.
Komen