Layang-layang putus angin


Izmil Amri

SAHABAT lama saya, Ismail Aminuddin – satu perempat daripada kumpulan mahasiswa tersohor satu masa dulu, UKM4 – pernah memberi syarahan singkat kepada teman-teman tentang konsep “putus angin”.

Saya yang tak pernah bermain layang-layang, manalah tahu apa maksudnya layang-layang putus angin. Putus tali mungkinlah masuk ke akal saya. Tetapi putus angin, tak biasa dengar.

Layang-layang putus angin, kata Mael (nama manjanya) adalah situasi di mana sang layang-layang itu perlahan-lahan jatuh kerana angin tiada lagi bertiup.

Sentaplah talinya bagaimana pun, angin sudah mati; lalu layang-layang pun menjunam ke tanah. Hanya menanti bayu berhembus lagi.

Saya ada tulis puisi bagi meraikan syarahan Mael itu, yang asalnya bertujuan menggambarkan bagaimana mahasiswa zaman kami terawang-awang keadaannya. Entah mana hilang puisi saya yang sedap itu.

Ingatan di atas menjelma semula apabila nama layang-layang bermunculan di beberapa laporan berita satu dua hari lalu, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Dalam kawasan Parlimen Simpang Renggam, ada sebuah kawasan DUN yang diberi nama Layang-Layang. Apa sebab namanya begitu, saya tiada periksa. Tetapi itulah dia, sebuah kawasan yang muncul di kanan kiri jalan, sepanjang laluan merentas ladang kelapa sawit di antara Kluang dan Kulai.

Ada juga tempat di Kulai itu yang namanya Kelapa Sawit. Tapi itu cerita lain.

Mari kita bercerita tentang N27 Layang-Layang.

Galah sejengkal

Dulu, sebelum Maszlee Malik masuk PKR, beliau wakil rakyat parti Bersatu yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad. Pernah sekali tu, Maszlee berhujah Dr Mahathir adalah “galah sejengkal” yang memungkinkan Pakatan Harapan (PH) melepasi titik tepu sokongannya pada PRU14 empat tahun lalu.

Analogi galah sejengkal ini dicerca penyokong PKR, tentunya. Selepas 20 tahun lebih bersorak Reformasi! Takkanlah kemenangan yang dikecapi mahu diakui hasil kerja musuh gerakan Reformasi? Mustahil!

Namun kebenaran memang selalunya pahit.

Maszlee menang di Parlimen Simpang Renggam dengan majoriti 3,475 undi. Lawannya, Liang Teck Meng berjaya memperolehi 14,682 undi; manakala lawan yang satu lagi dari PAS, Hj Jubri hanya beroleh 2,983 undi dan kehilangan wang deposit.

PH ketika itu, menerima 51% undi; manakala BN 41% dan PAS 8%.

Bawah P151 Simpang Renggam ada dua kawasan DUN, Machap dan Layang-Layang. Peratus sokongan di Machap hanyalah 45% bagi PH, 47% BN dan 8% PAS. Di Layang-Layang peratusannya juga serupa.

Peratusan itu haruslah mengambil kira undi yang diterima hasil menjual persona Dr Mahathir, kerana Maszlee ketika itu calon Bersatu. Hanya itu yang boleh menjelaskan kenapa Maszlee menang di Parlimen, tetapi kedua-dua calon PH di Machap dan Layang-Layang tewas kepada BN.

Meski peratus sokongan pengundi India meningkat di beberapa daerah mengundi, berikutan pencalonan Cikgu Murugan di Layang-Layang, beliau tetap tewas di tangan cucu Onn Jaafar, Onn Hafiz Ghazi.

Onn Hafiz, anak saudara kepada Hishammuddin Hussein, kini dijangka bertembung dengan Maszlee di Layang-Layang. Lebih menarik lagi, Maszlee dijangka akan dinamakan sebagai calon menteri besar oleh partinya, PKR.

Jauh lebih menarik lagi, PKR memutuskan untuk menggunakan logonya sendiri, dan menjauhi logo PH yang menurutnya dicemari galah sejengkal Dr Mahathir.

Persoalannya sekarang, adalah seperti berikut:

a) Dalam keadaan Maszlee kini dijangka mewakili PKR, adakah penyokong galah sejengkal yang mengundinya dulu akan kekal memilih beliau, seandainya perlawanan di Layang-Layang adalah lebih daripada tiga penjuru? Jika pecah undi tersebut, apa nasibnya?

b) Adakah peratusan undi yang dibawa kempen Bersatu bersama PH dalam PRU14 lalu akan kekal memangkah logo mata biru PKR?

c) Dengan keadaan pengundi yang lesu berikutan polemik politik tanah air, ditambah dengan wabak Covid-19 yang belum surut, adakah mereka bersedia untuk pulang mengundi dari jauh (terutamanya pengundi Cina yang akan baru saja pulang ke kampung untuk sambutan tahun baharu, dan adakah pengundi setempat akan sanggup bersusah payah keluar mengundi?

d) Adakah keterpisahan PKR daripada rakan-rakan PH dan blok pembangkang selebihnya akan menunjukkan bahawa ia sebenarnya tidak mahu lagi hidup bersama, justeru tidak lagi mempunyai kesepatakan lantas tidak seharusnya diberikan tanggungjawab mentadbir?

Soalan ini perlu digarap jika benar Maszlee mahu diangkat sebagai calon MB di kerusi yang satu itu.

Ini kerana kita perlu belajar daripada PRN Melaka, dan bagaimana bacaan dan harapan kita untuk pilihan raya negeri tersebut, berkecai bersama sekalian katak berprinsipnya.

Galah dah hilang

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan bagaimana giant killer seperti Shamsul Iskandar Mat Akin, tewas di DUN Paya Rumput kepada watak tidak dikenali umum.

Shamsul sebelum ini merupakan timbalan menteri industri utama, dan juga mantan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka.

PKR juga berkesudahan tanpa sebarang kerusi di negeri yang dahulunya pada PRU14 berjaya dimenangi dengan peratus undi popular 43%. Kali ini, hanya 36%.

Mana hilang faktor kemenangan PH pada PRU14 lalu? Mana dia galah yang memungkinkan layang-layang tersangkut di bumbung sekian lama akhirnya boleh dikait turun?

Umno-BN menyedari kehilangan si galah ini daripada kesebelasan utama pasukan PH dan mengambil kesempatan untuk cuba mengulangi keputusan Melaka di Johor pula. Apatah lagi setelah keyakinan dan kekuatan mereka pulih semula selepas kemenangan besar GPS di Sarawak.

Begitu tinggi sekali yakinnya, sehingga ia langsung tidak runsing dengan kehadiran pengundi 18 tahun, yang selama ini dirasakan akan secara fitrahnya menyokong pakatan parti pembangkang.

Nah, dalam keadaan layang-layang PH putus angin, lalu tersangkut di celah dahan – galahnya pula entah di mana, apakah harapan yang ada? – 27 Januari, 2022.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen