SATU klip video pendek muncul menunjukkan tiga anak Loh Siew Hong berkata mereka mahu bersama ibu mereka, sehari sebelum permohonan habeas corpus ibu tunggal itu bagi mendapatkan hak penjagaan mereka.
Video dimuat naik oleh jurucakap kumpulan Tamilar Kural Malaysia David Marshel menunjukkan Loh bertanya kepada tiga anaknya secara berasingan dengan siapa mereka mahu tinggal bersama, di mana masing-masing menjawab: “dengan ibu”.
Video itu juga menunjukkan Loh dan anak-anaknya tersenyum dan duduk selesa bersama.
Bagaimanapun tidak diketahui bila dan di mana video itu dirakam.
Loh telah dipisahkan daripada anak-anaknya - kembar perempuan berusia 14 tahun dan lelaki 10 tahun - sejak 2019 ketika beliau berada di hospital akibat kecederaan yang didakwanya dilakukan oleh bekas suaminya M Naghaswaran.
Kemudiannya Naghaswaran meminta mereka tukar agama, dan Loh tidak dapat menemui mereka selain dihalang kerana sekatan Covid-19.
Pada Mac 2021 beliau telah diberikan hak penjagaan penuh ke atas anak-anaknya, dan akhirnya mengetahui pada awal Januari anak-anaknya di rumah kebajikan Perlis dan baru tahu mereka telah memeluk Islam.
Loh juga telah membuat laporan polis selepas tidak dapat menemui mereka.
Walaupun ada perintah mahkamah, polis mahupun pihak berkuasa kebajikan tidak menyerahkan kanak-kanak itu kepadanya.
Oleh itu, Loh mendapatkan perbicaraan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok di mana ketiga-tiga anaknya juga perlu hadir di hadapan hakim.
Habeas corpus akan membenarkan Loh memaklumkan kepada mahkamah kanak-kanak itu telah ditahan daripadanya secara tidak sah, dan mahkamah boleh memerintahkan kanak-kanak itu diserahkan kembali kepadanya.
Media difahamkan yang Loh dibenarkan berjumpa anak-anaknya selama dua jam di rumah penjagaan kerajaan pada Sabtu.
Kanak-kanak itu telah dibawa ke Kuala Lumpur hari ini untuk pendengaran mahkamah.
Dilaporkan juga Loh akan memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar penukaran agama unilateral anak-anaknya melainkan pendaftar mualaf di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menunjukkan penukaran tersebut tidak didaftarkan
Peguam Shamsher Singh Thind memberitahu Free Malaysia Today Loh telah menghantar surat tuntutan kepada pendaftar mualaf di tiga negeri meminta bukti penukaran itu disenaraikan dalam daftar mereka.
Semakan kehakiman akan digugurkan jika pendaftar negeri menjawab yang tiga anaknya itu tiada dalam daftar mualaf mereka, katanya. – 20 Februari, 2022.
Komen