Loh dakwa dihalang jumpa anak, perlu dapat 'perintah'


Loh Siew Hong sepatutnya berjumpa dua anak perempuan kembar berusia 14 tahun dan anak lelaki berumur 10 tahun hari ini, namun Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis memberitahu yang beliau perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa yang lebih atas. – Gambar Facebook, 17 Februari, 2022.

IBU tunggal Loh Siew Hong berkata beliau sekali lagi dihalang daripada berjumpa tiga anaknya yang memeluk Islam tanpa kebenarannya, kerana perlu mendapat “perintah”, lapor Malaysiakini.

Katanya beliau sepatutnya berjumpa dua anak perempuan kembar berusia 14 tahun dan anak lelaki berumur 10 tahun hari ini, namun Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis memberitahu yang beliau perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa yang lebih atas.

Loh mempunyai hak penjagaan sah ke atas tiga anaknya itu seperti yang diberikan oleh mahkamah pada Mac tahun lepas, selepas beliau bercerai dengan Nagahswaran Muniandy atas sebab penderaan fizikal.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat beritahu saya mereka perlukan kebenaran daripada pihak atasan sebelum saya dapat jumpa anak-anak saya, kenapa?” katanya di Butterworth, Pulau Pinang, seperti dipetik Malaysiakini.

Selepas bercerai pada Mac 2019, Nagahswaran dilaporkan menculik tiga kanak-kanak itu semasa ketiadaan Loh dan mengislamkan mereka tanpa kebenarannya. Bekas suaminya menghantar anak-anaknya ke pusat Islam di Perlis. Suaminya kini dilaporkan di penjara di Kelantan.

Walaupun mahkamah memihak kepada Loh berhubung hak penjagaannya, namun beliau tetap dihalang untuk bertemu anak-anaknya semula.

Beliau juga kecewa kerana Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin sempat bertemu dan berbincang dengan mereka, sedangkan beliau sendiri tidak dibenarkan dengan menggunakan alasan kebimbangan Covid-19.

Dalam satu lagi laporan berita, Asri berkata anak-anak Loh tidak mahu bersama ibu mereka.

“Tapi masalahnya, anak-anak tu tak mahu. Kita bukan nak tahan kerana bukan bidang kuasa kita tapi dia (anak-anak) bagitahu kat kita ‘tolong pertahan kami, kami nak Islam, kami nak pi sekolah agama,” kata Asri seperti dipetik sebagai berkata.

Asri juga berkata penukaran agama itu dilakukan mengikut kehendak bapa kanak-kanak itu, yang mendakwa tidak mengetahui keberadaan Loh.

Peguam Ramkarpal Singh berpendapat sejak Nagahswaran mendaftarkan anak-anaknya kepada agama Islam tanpa kebenaran Loh, pihak berkuasa agama Perlis perlu batalkan penukaran agama tersebut.

Katanya ini selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes M. Indira Gandhi pada 2018 yang menyebut penukaran agama unilateral kanak-kanak di bawah umur adalah menyalahi undang-undang. – 17 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen