Jabatan agama Perlis pelu batal pengislaman anak-anak Loh, kata Ramkarpal


Peguam Ramkarpal Singh berkata jabatan agama Perlis perlu membatalkan penukaran agama tiga anak Loh Siew Hong kerana jelas beliau tidak membenarkan penukaran tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2022.

PIHAK berkuasa Islam Perlis perlu membatalkan penukaran agama tiga anak Loh Siew Hong kerana ia dibuat tanpa kebenaran ibu mereka, kata peguam Ramkarpal Singh.

Beliau berkata jabatan agama negeri itu mungkin terkhilaf dengan menganggap ibu kanak-kanak tersebut tidak dapat dikesan.

“Namun kini semua sudah jelas ibu mereka tidak pernah bersetuju supaya (anak-anaknya) memeluk Islam dan beliau mendapat hak penjagaan mutlak terhadap ketiga-tiga anaknya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mufti Perlis Asri Zainul Abidin dilaporkan berkata pertukaran agama itu dibuat mengikut kehendak bapa kanak-kanak itu yang kini berada di penjara Kelantan.

Asri berkata, suaminya mendakwa beliau tidak tahu di mana ibu kanak-kanak itu berada dan pihak berkuasa agama hanya menuruti kehendak bapa mereka.

Justeru Ramkarpal berkata pengesahan Mufti Perlis yang jabatan agama negeri telah mendaftarkan anak Loh sebagai beragama Islam atas permintaan bapa mereka sahaja telah menghilangkan kekeliruan mengenai status agama mereka.

“Mufti seterusnya mengesahkan penukaran agama tersebut tidak didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara dan oleh itu, tidak jelas sama ada sijil tukar agama dikeluarkan bagi pihak mereka.”

Pada 12 Februari, Loh telah memfailkan laporan polis di Kepala Batas, Pulau Pinang yang mendakwa jabatan agama Perlis mengambil tiga anaknya tanpa kebenarannya.

Dalam laporannya beliau berkata ada menerima maklumat daripada seseorang yang dua anak perempuan kembar berusia 14 tahun dan anak lelaki berumur 10 tahun berada dalam jagaan pihak berkuasa agama di Perlis.

Ramkarpal berkata Loh secara terbuka dia tidak bersetuju dengan penukaran agama anak-anaknya, dengan mengambil contoh keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap M. Indira Gandhi pada 2018.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama unilateral tiga anak Indira.

Mahkamah itu mengekalkan pembatalan penukaran agama oleh hanya seorang ibu bapa dan mengesahkan hak penjagaan kepada ibu.

Ramkarpal berkata memandangkan isu tukar agama unilateral telah diputuskan secara muktamad oleh mahkamah tertinggi dalam kes Indira, jabatan agama negeri tersebut perlu mematuhi syaratnya dan membatalkan pendaftaran penukaran agama tersebut tanpa perlu perkara itu dibicarakan.

Dilaporkan peguam Shamsher Singh Thind yang mewakili Loh telah menghantar notis undang-undang kepada pendaftar mualaf Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Shamsher mahu pihak berkuasa memberikan bukti yang Loh telah bersetuju dengan penukaran agama anak-anaknya. – 17 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen