Loh cabar penukaran agama 3 anak di mahkamah, kata peguam


IBU tunggal Loh Siew Hong akan memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar penukaran agama unilateral tiga anaknya melainkan pendaftar mualaf di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menunjukkan penukaran tersebut tidak didaftarkan, kata peguamnya.

Shamsher Singh Thind memberitahu Free Malaysia Today Loh telah menghantar surat tuntutan kepada pendaftar mualaf di tiga negeri meminta bukti penukaran itu disenaraikan dalam daftar mereka.

Semakan kehakiman akan digugurkan jika pendaftar negeri menjawab yang tiga anaknya itu tiada dalam daftar mualaf mereka, katanya.

“Jika tidak, kami akan memfailkan semakan kehakiman, dengan atau tanpa surat itu. Kami akan memohon perintah mahkamah untuk memaksa mereka membatalkan sijil penukaran agama, sekiranya ada sijil itu,” katanya di seperti dipetik Free Malaysia Today.

Surat tuntutan telah dihantar pada Rabu, tambahnya, dan tiga pendaftar telah diberi masa seminggu untuk menjawab.

Shamsher berkata surat tuntutan itu dihantar ke tiga negeri itu kerana anak-anak Loh telah dijaga oleh seorang wanita di Pulau Pinang sebelum dipindahkan ke Perlis. Bekas suami Loh Nagahswaran Muniandy pernah menetap di Kedah. Dia kini berada di penjara Kelantan atas kesalahan berkaitan dadah.

Shamsher berkata beliau mahukan pengesahan bertulis bagi membuktikan penukaran agama tiga anak Loh.

Tambahnya apa sahaja yang diperkatakan oleh Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengenai penukaran agama unilateral yang sah di bawah undang-undang Perlis, setakat ini kekal sebagai khabar angin.

Katanya walaupun ada gesaan supaya anak-anak Loh kekal beragama Islam, penukaran agama unilateral mereka tanpa persetujuannya sebagai ibu mereka, adalah menyalahi undang-undang, memetik pendirian Mahkamah Persekutuan penukaran agama mesti diluluskan oleh kedua ibu bapa.

Tambahan pula, Loh telah diberikan hak penjagaan penuh ke atas anak-anak itu tahun lepas berikutan perceraiannya dengan Naghaswaran.

Loh telah dipisahkan daripada tiga anaknya – kembar perempuan berusia 14 tahun dan lelaki 10 tahun - sejak 2019 semasa beliau berada di hospital akibat kecederaan yang didakwanya akibat penderaan fizikal oleh Naghaswaran.

Selepas itu bekas suaminya meminta mereka tukar agama, dan Loh tidak dapat menemui mereka selain dihalang oleh sekatan Covid-19.

Pada Mac 2021 beliau telah diberikan hak penjagaan penuh ke atas anak-anaknya, dan akhirnya mengetahui pada awal Januari anak-anaknya di rumah kebajikan Perlis dan baru tahu mereka telah memeluk Islam.

Loh juga telah membuat laporan polis selepas tidak dapat menemui mereka.

Walaupun ada perintah mahkamah, polis mahupun pihak berkuasa kebajikan tidak menyerahkan kanak-kanak itu kepadanya.

Oleh itu, Loh mendapatkan perbicaraan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok di mana ketiga-tiga kanak-kanak itu juga perlu hadir di hadapan hakim.

Habeas corpus akan membenarkan Loh memaklumkan kepada mahkamah kanak-kanak itu telah ditahan daripadanya secara tidak sah, dan mahkamah boleh memerintahkan kanak-kanak itu diserahkan kembali kepadanya. – 20 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen