Penularan Covid dalam kalangan pekerja terkawal, kata pengusaha pawagam


Alfian Z.M. Tahir

PENULARAN wabak Covid-19 dalam kalangan kakitangan di Aurum Theatre, sebuah pawagam mewah yang terletak di The Gardens Mall, adalah terkawal, kata pengurusannya hari ini.

Pengurus Perhubungan Awam dan Penjenamaan Aurum Theatre Sharmine Ishak juga berkata pihak pengurusan tidak memaksa kakitangannya bekerja apabila mereka didapati mempunyai kontak rapat dengan rakan sekerja mereka yang positif Covid-19.

Beliau menambah tujuh kakitangannya yang disahkan positif manakala yang lain yang mempunyai kontak rapat diarah untuk tinggal di rumah.

Beliau juga berkata kakitangan yang terjejas adalah mereka yang “terhad di bahagian belakang pejabat dan dapur”.

“Berikutan berita terbaharu tentang kakitangan pawagam terpaksa bekerja walaupun dijangkiti koronavirus, Aurum Theatre mengesahkan tujuh pekerja telah dikenal pasti positif dan kontak rapat yang telah menerima arahan Perintah Pengawasan Rumah (HSO) telah dilepaskan daripada tugas mereka serta-merta.

“Pekerja yang terjejas adalah kakitangan sokongan terhad di bahagian belakang pejabat dan dapur.

“Kami menegaskan bahawa tiada kakitangan yang dikenal pasti positif atau kontak rapat sedang bekerja di pawagam,” kata Sharmine kepada The Malaysian Insight.

Aurum Theatre merupakan butik pawagam mewah yang dimiliki oleh Golden Screen Cinemas.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan lebih 50 kakitangan Aurum Theatre bimbang tentang kebajikan mereka, selepas pihak pengurusan enggan menutup operasi walaupun mengesan 10 kes Covid-19 dalam kalangan kakitangan.

Dilaporkan bahawa kakitangan diarah bekerja walaupun ramai yang mempunyai kontak rapat dengan mereka yang didapati positif.

Seorang pekerja yang enggan identitinya didedahkan berkata beliau hanya diberitahu untuk melakukan ujian kendiri dan mengikut masa.

Sharmine berkata, pihak pengurusan memutuskan untuk tidak menutup keseluruhan pawagam kerana wabak itu tidak menjejaskan bahagian atau kakitangan lain.

Beliau memberi jaminan hanya pekerja yang sihat dibenarkan datang bekerja dan pawagam sentiasa dibersihkan untuk kebajikan pekerja serta penonton wayang.

“Aurum Theatre juga telah mengambil inisiatif menutup restorannya untuk pembersihan dan sanitasi sepenuhnya. Kami mematuhi SOP yang ketat mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia, memastikan pekerja positif dan kontak rapat yang ditunjukkan melalui aplikasi MySejahtera serta-merta dilepaskan daripada tugas mereka.

“Sebelum memulakan kerja, kakitangan Aurum Theatre mesti mendaftar masuk untuk pengesanan kontak, mengambil suhu badan dan melengkapkan ujian RTK harian. Pawagam dibersihkan sebelum memulakan perniagaan, selepas setiap tayangan, dan pada penutupan perniagaan.

“Memandangkan ia tidak menjejaskan keseluruhan pawagam, satu-satunya bahagian yang telah ditutup ialah dapur — juga untuk pembersihan. Kakitangan pawagam yang lain yang terus bekerja bukanlah kontak rapat dan atau dikenal pasti secara dalaman atau melalui aplikasi MySejahtera,” tambahnya.

Kes indeks melibatkan seorang tukang masak di pawagam berkenaan dan dikesan pada 12 Februari lalu.

Daripada kes pertama, sekurang-kurangnya tiga lagi tukang masak kemudiannya disahkan positif. – 20 Februari, 2022.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen