DUA operator panggung wayang terbesar di negara ini mengalu-alukan langkah kerajaan untuk membenarkan pawagam kembali beroperasi mulai Jumaat ini.
Golden Screen Cinemas dan TGV Cinemas berkata sudah lama mereka nantikan saat ini, dan akan memastikan peminat filem bakal mematuhi setiap protokol keisihatan yang ditetapkan kerajaan.
“Saat yang kita nantikan… kami akan buka semula Jumaat in,” kata GSC kepada pelanggannya di Facebook.
Pawagam itu berkata ia akan memaklumkan lokasi yang akan beroperasi semula dan senarai filem bakal ditayangkan, tidak lama lagi.
Sementara itu, TGV Cinemas membuat pengumuman sama di Facebook. Ia juga menjalankan kaji selidik untuk memastikan pawagam tempat selamat bagi pelanggannya.
“Pawagam akan dibuka tidak lama lagi! Tetapi jadikan ia tempat lebih selamat untuk anda, kami ingin dengar pandangan anda,” katanya dalam kiriman di Facebook.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sementara itu berkata ia akan memasitkan setiap pihak terbabit dalam industri itu mematuhi semua prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, seperti penjarakan sosial, saringan suhu badan dan kerap sanitasi premis.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tiada lagi negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 5 Mac ini.
Selangor dan Kuala Lumpur serta lapan negeri dan wilayah akan dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) bermula Jumaat ini hingga 18 Mac.
Sekatan juga dilonggarkan di Negeri Sembilan, Johor, Penang, Kedah, Perak dan Kelantan. Larangan perjalanan rentas daerah juga ditarik balik. – 3 Mac, 2021.
Komen