PAWAGAM boleh beroperasi semula hujung minggu ini, kata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), selepas Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tiada lagi negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 5 Mac ini.
Operasi pawagam bagaimanapun tertakluk kepada pematuhan garis panduan prosedur operasi standard (SOP), jelas Finas.
Selain operasi pawagam, aktiviti penggambaran yang tertangguh sejak PKP pada Januari lalu juga akan dibenarkan semula di semua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP).
Kenyataan Finas menyusul pengumuman Ismail Sabri bahawa PKP di tiga negeri iaitu Selangor, Johor, dan Pulau Pinang serta Kuala Lumpur dilonggarkan menjadi PKPB berkuat kuasa antara 5 hingga 18 Mac ini.
Keputusan Majlis Keselamatan Negara itu menjadikan tiga negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai Jumaat ini diletakkan di bawah PKP bersyarat bersama Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Kelantan, dan Sarawak.
Negeri-negeri dan dua wilayah persekutuan yang lain iaitu Putrajaya dan Labuan pula diletakkan di bawah PKPP.
Pawagam pernah dibuka semula pada pertengahan Disember tahun lalu.
Awal hari ini, Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming berkata kerajaan wajar membenarkan pawagam dibuka semula, selepas banyak sektor perniagaan dibenarkan beroperasi biarpun di negeri-negeri yang menjalani PKP.
Ong berhujah, pawagam yang terus ditutup menjejaskan pendapatan pekerja industri termasuk kumpulan sokongan dari kalangan mereka yang berpendapatan rendah, selain menyebabkan syarikat dan pembuat filem rugi.
MBO Cinemas, rangkaian pawagam ketiga terbesar di Malaysia, menutup operasinya dan gulung tikar selepas tidak lagi dapat bertahan mengharungi tekanan ekonomi selepas tidak dapat beroperasi sejak penularan Covid-19, hampir setahun yang lalu. – 2 Mac, 2021.
Komen