Syarikat telekomunikasi serah kepada Putrajaya tentukan pelancaran 5G


Noel Achariam

SYARIKAT telekomunikasi telah mengemukakan cadangan pelancaran 5G kepada Putrajaya dan akan menunggu keputusan Kabinet mengenai perkara tersebut.

Pemain industri berkata mereka telah mengemukakan cadangan mengenai penubuhan dua Rangkaian Borong (Dwi-Rangkaian Borong atau DWN).

Ini, kata mereka, termasuk pembangunan dan operasi oleh dua konsortium membabitkan kerajaan, Digital Nasional Bhd (DNB) dan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang bersedia untuk melabur.

“Kami lihat model DWN sebagai pilihan yang boleh dilaksanakan yang memanfaatkan keupayaan MNO, sumber sedia ada, termasuk infrastruktur, rantaian bekalan bersama pengalaman ribuan bakat teknikal Malaysia.

“Kami komited dan berharap dapat memainkan peranan kami dalam merealisasikan manfaat mampan jangka panjang kepada negara, penyelesaian menang-menang buat kerajaan, rakyat dan industri,” kata mereka dalam kenyataan.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Berhad (Maxis) dan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile).

Pengendali itu berkata mereka akan menunggu keputusan daripada kerajaan memandangkan perkara itu akan dibentangkan di Kabinet, seperti yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

“Industri telah berbincang dengan kerajaan dan telah memberikan pandangan serta fakta secara langsung berhubung perkara itu.”

Sabtu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif DNB Ralph Marshall berkata motivasi utama kerajaan memilih pendekatan rangkaian borong tunggal (SWN).

Pemilihin itu katanya agar dapat menangani sambungan internet yang lemah di Malaysia, khususnya di kawasan pinggir dan luar bandar di mana liputan dan kualiti 4G pun tidak seberapa.

Antara lain, Marshall berkata ia adalah untuk menghapuskan keperluan bagi MNO untuk melabur secara besar-besaran dalam rangkaian 5G dan membenarkan mereka memberi tumpuan kepada peningkatan yang diperlukan bagi rangkaian 4G dan gentian sedia ada mereka di bawah pelan Jendela.

Syarikat-syarikat telekomunikasi itu bertindak balas kepada ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming yang menyoal adakah dakwaan MNO gagal bekerjasama untuk menghasilkan struktur pemilikan yang boleh dilaksanakan untuk SWN adalah tepat.

“Adakah ini gambaran yang tepat tentang kronologi perbincangan untuk mewujudkan sebuah entiti rangkaian pemborong tunggal dan seterusnya penubuhan DNB yang memilikinya 100 peratus serta bertanggungjawab atas pelaksanaan 5G?” kata Ong. – 18 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen