Muhyiddin pertahan pemberian spektrum 5G kepada DNB


Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin tampil mempertahankan tindakan pentadbirannya yang menyerahkan pelancaran spektrum 5G kepada Digital Nasional Bhd.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2021.

BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin tampil mempertahankan tindakan pentadbirannya yang menyerahkan pelancaran spektrum 5G kepada syarikat tujuan khas milik kerajaan Digital Nasional Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengerusi Perikatan Nasional itu turut menggesa kerajaan supaya tidak menukar model Single Wholesale Network (SWN) kerana akan memberi implikasi yang teruk.

“Ia akan menyebabkan kehilangan keyakinan pelabur akibat perubahan pendirian kerajaan dan implikasi serius dari aspek kewangan dan perundangan ke atas negara dan DNB sekiranya sebarang pelanggaran atau penamatan kontrak disebabkan oleh penukaran model,” kata Muhyiddin.

Tambahnya, Malaysia juga akan kehilangan penjanaan ekonomi berjumlah RM122 bilion menjelang tahun 2030 seperti yang dilaporkan oleh kajian yang dijalankan oleh Ernst & Young Sdn Bhd (EY) serta kehilangan 15,000 pekerjaan.

Mengulangi apa yang dikatakan Kementerian Kewangan semalam, Muhyiddin berkata pentadbirannya memutuskan untuk mengguna pakai SWN kerana syarikat telekomunikasi gagal melancarkan rangkaian 4G dengan memuaskan.

“Syarikat telekomunikasi telah mengambil masa tujuh tahun untuk mencapai liputan 4G di kawasan berpenduduk sebanyak 82.2 peratus sebaliknya DNB menyasar melancarkan 5G kepada lebih 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang 2024.”

Akibat liputan yang tidak mencukupi kata Muhyiddin, kerajaan terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan berjumlah RM28 bilion daripada wang awam dan swasta di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk menghubungkan perkhidmatan ke kawasan-kawasan luar bandar.

Beliau berkata pentadbirannya memutuskan model SWN pada Februari 2021, walaupun gagal di banyak negara lain, untuk memberikan spektrum 5G kepada syarikat tujuan khas supaya ia boleh menjual rangkaian 5G secara borong.

Katanya, DNB dipilih melalui sistem Request for Proposal (RFP).

“Penilaian dibuat berdasarkan teknikal, komersial dan sosio-ekonomi. Berdasarkan penilaian, Ericsson (M) Sdn Bhd dilantik untuk membina rangkaian itu.”

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz berkata kementeriannya telah berunding dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebelum memutuskan untuk memberikan kontrak itu kepada DNB.

Khamis lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin memberitahu Parlimen bahawa Kementerian Kewangan telah memberikan projek itu kepada DNB walaupun dibantah kementeriannya.

“Kami mahu memberikan spektrum 5G kepada syarikat telekomunikasi kerana mereka sudah mempunyai asas dan akan menjadi lebih pantas tetapi DNB mahu melakukannya dan mengatakan bahawa infrastruktur 4G tidak lengkap kerana ia dilakukan oleh syarikat telekomunikasi,” kata Zahidi. – 11 Disember, 2021.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen