Malaysia disaran guna rangkaian tunggal 5G, kata pakar


Noel Achariam

RANGKAIAN borong tunggal (SWN) lebih berbaloi untuk Malaysia terokai kerana matlamatnya untuk mewujudkan kestabilan infrastruktur, kata Penasihat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Strategi dan Dasar 5G Brett Haan.

“Bagi kes Malaysia. Saya rasa lebih bernilai untuk diterokai. Kerana saya fikir matlamat di sini adalah untuk ada kestabilan infrastruktur.

“Infrastruktur biasa yang MNO (pengendali rangkaian mudah alih) juga boleh lakukan, tetapi syarikat baharu juga boleh mohon untuk itu,” katanya pada sesi taklimat dasar dan strategi 5G untuk penggunaan pantas di Kuala Lumpur hari ini.

Haan memberi maklum balas jika SWN adalah model yang sesuai untuk Malaysia selain kebimbangan mengapa kerajaan perlu membiayai projek ini daripada membenarkan MNO melabur dalam projek itu.

Ini, katanya, supaya negara mempunyai persaingan dan pertumbuhan sektor perkhidmatan.

“Ia sesuatu yang lebih bernilai dan patut diterokai.

“Sekali lagi ia adalah keputusan kerajaan Malaysia. Mereka buat dasar kemudian sesuaikan dasar itu. Apa yang saya faham sekarang ialah fasa pelaksanaan dasar itu,” katanya.

Penasihat PBB mengenai Strategi dan Dasar 5G Brett Haan berkata rangkaian borong tunggal lebih berbalooi diguna pakai di Malaysia kerana matlamatnya untuk ada kestabilan infrastruktur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Februari, 2022.

Pada 12 Februari, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Bhd (DNB) Ralph Marshall berkata motivasi utama kerajaan memilih pendekatan SWN adalah untuk menangani isu capaian internet di negara ini.

Beliau berkata ia bagi menangani keterbatasan sambungan internet yang ada di Malaysia, khususnya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar di mana liputan dan kualiti 4G rendah.

Antara lain, Marshall berkata ia adalah untuk menghapuskan keperluan bagi MNO untuk melabur banyak dalam rangkaian 5G dan membenarkan mereka memberi tumpuan kepada peningkatan yang diperlukan bagi rangkaian 4G dan gentian sedia ada mereka di bawah pelan Jendela.

Ini, katanya, juga bagi memastikan semua pemain sedia ada dan baharu mempunyai akses adil dan sama rata kepada rangkaian 5G dan kapasitinya.

Tambahnya ia bagi meletakkan komunikasi sebagai utiliti dan menyampaikan penjimatan kos kepada pengguna akhir, sambil memudahkan mereka menggunakan perkhidmatan 5G.

“Pengendali telekomunikasi sedia ada telah menunjukkan yang ia bukan dalam DNA mereka untuk menerima model pemulihan kos bagi melancarkan infrastruktur 5G dan menyampaikan penjimatan kepada pengguna akhir.”

Haan berkata adalah sangat penting bagi kerajaan untuk mewujudkan keyakinan dalam hal ini, iaitu untuk bekerjasama dengan MNO, perusahaan kerajaan dan swasta yang lebih besar serta pihak berkepentingan.

“Ini supaya rakyat Malaysia melihat kebaikan model ini. Mengenai jurang digital, saya rasa ramai yang hilang keyakinan terhadap jalur lebar negara.

“Ini peluang yang baik untuk mendapatkan semula keyakinan mereka,” katanya.

Bagi rangkaian dwi borong (DWN), Hann percaya secara peribadi model itu menimbulkan lebih kekeliruan.

“Siapa yang akan bertanggungjawab dengan model DWN?

“Isu lain dengan model DWN adalah jika anda lihat atas daripada empat atau lima tahun.

“Anda perlu pisahkan syarikat, iaitu bila ada pemisahan struktur fungsi… dan ia tidak pernah berjalan lancar.

“Struktur pemisahan fungsi sangat sukar dilakukan. Jadi, ia sukar dan menimbulkan kekeliruan dalam pasaran.”

Pada 14 Februari, ahli Parlimen DAP Dr Ong Kian Ming meminta syarikat telekomunikasi menjelaskan segala persoalan yang berbangkit daripada penjelasan Ralph Marshall terhadap 15 pertanyaannya mengenai pelaksanaan 5G di negara ini.

Dalam kenyataan terbuka kepada Maxis, Celcom, Digi, U Mobile dan Yes, ahli Parlimen DAP Bangi itu berkata hujah DNB dan Kementerian Kewangan untuk menggunakan model SNW tidak meyakinkan. – 16 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen