Peserta #TangkapAzamBaki berarak ke Dataran Merdeka


Ravin Palanisamy Elill Easwaran

Penunjuk perasaan #TangkapAzamBaki berhimpun di bawah stesen LRT Bangsar sebelum mula berarak menuju Dataran Merdeka pada pukul 11 pagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Januari, 2022.

PENUNJUK perasaan perhimpunan #TangkapAzamBaki merancang untuk berarak ke Dataran Merdeka dari stesen LRT Bangsar pada pukul 11 ​​pagi walaupun mahkamah menghalang sebarang perhimpunan di Kuala Lumpur hari ini.

“Kami rancang untuk ke Dataran Merdeka walaupun polis tidak benarkan kami,” kata salah seorang penganjur perhimpunan kepada The Malaysian Insight melalui WhatsApp apabila ditanya mengenai langkah seterusnya walaupun disekat polis.

Polis telah menutup beberapa jalan di ibu negara bagi menghalang perhimpunan #TangkapAzamBaki daripada berlangsung di lokasi yang dirancang di hadapan kompleks beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Perhimpunan anjuran kumpulan masyarakat sivil dan beberapa sayap pemuda parti pembangkang itu diharamkan selepas polis mendapat perintah mahkamah melarang perhimpunan di Dataran Merdeka, kompleks beli-belah Sogo dan Masjid Jamek.

Polis juga menutup beberapa stesen kereta api bagi menghadapi protes berkenaan.

Penganjur kemudian menukar tempat ke stesen LRT Bangsar, namun apabila mengetahui perkara ini, polis menutup kawasan itu dan melencongkan kenderaan di situ.

Bagaimanapun, polis tidak menghalang pejalan kaki daripada memasuki kawasan di bawah stesen LRT Bangsar.

Di sini, beberapa pejalan kaki memakai pakaian hitam, warna yang telah disuruh memakai penunjuk perasaan. Orang ramai kelihatan menunggu arahan untuk mula berarak.

Demonstrasi itu diadakan bagi menggesa ketua pesuruhjaya agensi antirasuah Azam Baki ditangkap berhubung pemilikian saham kontroversi dan cara akaun dagangannya digunakan.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah membersihkan Azam Baki daripada salah laku, namun beliau juga dilihat berbohong kepada orang ramai apabila mengatakan adiknya yang menggunakan akaun dagangannya.

Beberapa penduduk tempatan memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak menyedari penutupan jalan di Bangsar sehingga pagi ini.

“Saya keluar untuk sarapan pagi, kemudian ada sekatan jalan raya dan lencongan lalu lintas.

“Saya ambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke restoran, yang hanya 5 minit jauhnya,” kata seorang penduduk, yang hanya mahu dikenali sebagai Glen.

Tariq, seorang lagi penduduk tempatan berkata, protes itu tidak akan menyebabkan huru-hara.

“Bukankah ia sepatutnya perhimpunan aman?

“Jika mereka (pihak berkuasa) benarkan pun, ia akan berakhir dengan aman. Sekarang, lencongan itu hanya mendatangkan banyak masalah kepada penduduk di sini,” katanya.

Beberapa pengguna media sosial membidas polis kerana keputusan mereka menyekat jalan raya dan mengalihkan lalu lintas.

“Semua ini hanya kerana seorang individu? Awak tak rasa bodoh ke?” pengguna @projekbot memberi reaksi terhadap video yang menunjukkan penutupan jalan di Bangsar.

Seorang lagi pengguna @zairulriza mempersoalkan mengapa polis tidak menggunakan kecekapan ini semasa banjir di negara ini baru-baru ini.

“Kenapa polis tak secekap ni waktu banjir lepas,” katanya.

Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki berkata ia mengecewakan apabila polis meletakkan Kuala Lumpur dalam keadaan “sekatan pergerakan” hanya kerana seorang individu.

Ia berkata polis bertindak seolah-olah Azam Baki “sangat berkuasa”. – 22 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen