POLIS melencongkan lima laluan di sekitar Brickfields dan menghentikan operasi stesen kereta api di Bangsar pagi ini bagi menghadapi perhimpunan #TangkapAzamBaki di ibu negara.
Ketua Polis Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata lencongan melibatkan Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers menuju ke Jalan Bangsar, Jalan Rakyat menuju ke Jalan Bangsar dan Jalan Maarof menuju ke Jalan Bangsar.
“Lencongan ini akan bermula pada jam 7 pagi, 22 Januari hingga selesai,” katanya lewat malam tadi.
Selain itu, operasi beberapa stesen utama kereta api, MRT, LRT dan Monorel di Kuala Lumpur juga akan dihentikan sementara, kata Amihizam.
“Polis menerima maklumat mutakhir pada 21 Januari 2022 jam 11 malam yang beberapa individu akan menganjurkan perhimpunan pada 22 Januari 2022 jam 11.00 pagi di LRT Bangsar.
“Perhimpunan ini jelas melanggar undang-undang dan polis tidak menerima sebarang pemberitahuan perhimpunan dari mana-mana pihak seperti yang digariskan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.
Lebih awal, polis mendapat perintah mahkamah melarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka, Sogo dan Masjid Jamek bagi menghadapi protes yang dirancang ke atas ketua agensi antirasuah Azam Baki.
Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata, perintah dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur itu mula berkuatkuasa 20 Jan dan sah selama tujuh hari.
Polis Dang Wangi turut mengumumkan lencongan di beberapa jalan utama di daerah itu selain menghentikan sementara operasi perkhidmatan kereta api MRT, LRT, Monorel dan KTM di beberapa stesen utama di kawasan Dang Wangi.
Stesen LRT terlibat terdiri dari Pudu, Hang Tuah, Masjid Jamek (Ampang dan Sri Petaling), Plaza Rakyat, Bandaraya, Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Dang Wangi dan Pasar Seni.
Tiga stesen MRT yang disenaraikan ialah Bukit Bintang, Merdeka dan Pasar Seni manakala tiga stesen KTM pula terdiri dari Kuala Lumpur, Bank Negara dan stesen Putra.
Semua stesen Monorel juga akan ditutup untuk tempoh itu.
Susulan dari itu, penganjur #TangkapAzamBaki pada malam tadi mengumumkan lokasi perhimpunan diubah ke stesen LRT Bangsar.
“Melihat situasi ini, kami sebagai rakyat Malaysia yang prihatin tiada pilihan lain kecuali meneruskan dengan gesaan #TangkapAzamBaki pada hari esok, jam 11:00 pagi, Sabtu, 22hb Januari 2022 di bawah jambatan LRT Bangsar, Jalan Bangsar,” kata Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki dalam satu kenyataan malam tadi.
Aktivis dan pemimpin muda pembangkang sudahpun mengerahkan kehadiran anggota masing-masing ke demo berkenaan.
Antara kumpulan masyarakat sivil yang terlibat Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), Liga Rakyat Demokratik, Persatuan Pengundi Muda dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.
Selain Pemuda Amanah, turut terlibat dalam perhimpunan yang dipromosi dengan topik #TangkapAzamBaki itu parti Muda, Pemuda Keadilan, Pemuda DAP dan Pemuda Harapan.
Ia berikutan pendedahan Azam memiliki berjuta-juta saham dalam dua syarikat pada 2015 dan 2016, semasa beliau menjadi ketua unit siasatan SPRM.
Azam Baki kemudian menjelaskan adiknya telah membeli saham menggunakan akaun dagangan ketua SPRM, yang bermaksud mereka mungkin melanggar peraturan Suruhanjaya Sekuriti.
Lembaga penasihat antirasuah SPRM minggu lalu seterusnya mengumumkan badan itu menerima penjelasan Azam Baki dan mendapati beliau bebas daripada sebarang salah laku.
Ini mencetuskan kemarahan orang ramai dan menimbulkan gesaan agar agensi antirasuah itu diletakkan di bawah pengawasan Parlimen dan siasatan bebas terhadap kes itu dijalankan segera.
Demo hari ini pula digerakkan selepas Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan ia tidak dapat merumuskan Azam melanggar undang-undang dalam membenarkan akaun digunakan oleh adiknya.
Dalam satu lagi penjelasan, suruhanjaya itu kemudian mendapati urus niaga jual beli saham menggunakan akaun tersebut dibuat atas arahan Azam sendiri. – 22 Januari, 2022.
Komen