Polis tutup jalan, stesen tren sekat demo #TangkapAzamBaki


Kalidevi Mogan Kumarappa

Perkhidmatan kereta api MRT, LRT, Monorel dan KTM juga akan menghentikan sementara operasi di beberapa stesen utama di kawasan Dang Wangi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2022.

POLIS mengumumkan lencongan jalan dan tindakan menghentikan operasi stesen kereta api di sekitar ibu negara esok bagi menghadapi demonstrasi ke atas ketua agensi antirasuah Azam Baki.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata, lencongan antara lain melibatkan Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.

“Lencongan ini akan bermula pada jam 7 pagi, 22 Jan hingga selesai,” katanya.

Selain itu perkhidmatan kereta api MRT, LRT, Monorel dan KTM juga akan menghentikan sementara operasi di beberapa stesen utama di kawasan Dang Wangi, katanya.

Stesen LRT terlibat terdiri dari Pudu, Hang Tuah, Masjid Jamek (Ampang dan Sri Petaling), Plaza Rakyat, Bandaraya, Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Dang Wangi dan Pasar Seni.

Tiga stesen MRT yang disenaraikan ialah Bukit Bintang, Merdeka dan Pasar Seni manakala tiga stesen KTM pula terdiri dari Kuala Lumpur, Bank Negara dan stesen Putra.

Semua stesen Monorel juga akan ditutup untuk tempoh itu.

Noor Dellhan berkata pasukannya mendapat perintah Mahkamah Majistret untuk menghalang perhimpunan berkenaan.

Perintah tersebut melarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka, Sogo dan Masjid Jamek yang berkuatkuasa esok selama tujuh hari bermula semalam, katanya.

Aktivis dan pemimpin muda pembangkang sudahpun mengerahkan kehadiran anggota masing-masing ke demo berkenaan.

Antara kumpulan masyarakat sivil yang terlibat Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), Liga Rakyat Demokratik, Persatuan Pengundi Muda dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

Selain Pemuda Amanah, turut terlibat dalam perhimpunan yang dipromosi dengan topik #TangkapAzamBaki itu parti Muda, Pemuda Keadilan, Pemuda DAP dan Pemuda Harapan.

Bantahan ke atas Azam sudahpun digerakkan minggu lalu oleh Pemuda PKR di hadapan ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Perhimpunan serupa berlangsung di luar bangunan Parlimen semalam sewaktu Dewan Rakyat mengadakan sidang khas bagi membahaskan bencana banjir.

Ia berikutan pendedahan Azam memiliki berjuta-juta saham dalam dua syarikat pada 2015 dan 2016, semasa beliau menjadi ketua unit siasatan SPRM.

Azam Baki kemudian menjelaskan adiknya membeli saham menggunakan akaun beliau.

Lembaga penasihat antirasuah SPRM minggu lalu seterusnya mengumumkan badan itu menerima penjelasan Azam Baki dan mendapati beliau bebas daripada sebarang salah laku.

Ini mencetuskan kemarahan orang ramai dan menimbulkan gesaan agar agensi antirasuah itu diletakkan di bawah pengawasan Parlimen dan siasatan bebas terhadap kes itu dijalankan segera.

Demo esok pula digerakkan selepas Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan ia tidak dapat merumuskan Azam melanggar undang-undang dalam membenarkan akaun digunakan oleh adiknya.

Dalam satu lagi penjelasan, suruhanjaya itu kemudian mendapati urus niaga jual beli saham menggunakan akaun tersebut dibuat atas arahan Azam sendiri. – 21 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen