MIC kata janji Dr Mahathir untuk bela kaum India sudah terlambat


Yasmin Ramlan

Presiden MIC, Dr S Subramaniam berkata Dr Mahathir berpeluang untuk berbuat demikian semasa memimpin negara tetapi tidak dilakukannya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2018. 

PRESIDEN MIC Dr S Subramaniam berkata sudah terlambat untuk Dr Mahathir Mohamad berjanji membela kaum India di negara ini.

Dr Subramaniam yang juga menteri kesihatan berkata, pengerusi Bersatu itu sepatutnya berbuat sedemikian ketika beliau menyandang jawatan perdana menteri sebelum ini.
 
“Kita (kaum India) rasa gembira kalau beliau dapat lakukannya pada (tempoh) 22 tahun dahulu (semasa Mahathir menjadi perdana menteri).

“(Kebajikan) komuniti India akan menjadi lebih baik daripada sekarang,” katanya dalam sidang media Minggu Kanser Sedunia di Temple of Fine Arts di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini.

Ahli Parlimen Segamat itu berkata, Dr Mahathir berpeluang untuk berbuat demikian semasa memimpin negara tetapi tidak dilakukannya.

“Ia sudah terlambat. Beliau mempunyai peluang berbuat demikian tetapi beliau tidak melakukannya,” katanya.

Semalam, bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu berikrar bahawa beliau akan memastikan akan membela kebajikan minoriti itu jika memenangi pilihan raya nanti.

Dalam ucapan semasa menemui kira-kira 300 orang masyarakat India semalam, Dr Mahathir turut berjanji akan berkhidmat lebih baik dalam menjaga kebajikan golongan tersebut, terutama dalam bidang pendidikan. – 5 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kita sudah ketahui sejak zaman pemerintahan Tun M beliau banyak menumpukan pemabangunan tapi dalam masa yang sama mengabaikan kebajikan kaum india lebih lagi dari segi ekonomi pendidikan dan taraf hidup berbeza zaman Dato Sri Najib yang yang banyak menumpukan kebajikan setiap kaum tanpa membeza kan kaum jika di beri peluang kali kedua menjadi perdana menteri pun kita sedia maklum ego dan angkuh mahathir tidak akan berubah

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan