KAUM India merupakan undi penentu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad yang berikrar membela kebajikan minoriti itu jika menang pilihan raya nanti.
Beliau berkata meskipun kaum India bukan majoriti di negara ini, tetapi mereka sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam pilihan raya umum nanti.
“Saya amat pasti masyarakat India akan akan memainkan peranan penting, golongan ini mungkin kecil tapi merekalah penentu undi,” katanya semasa menghadiri sambutan Perayaan Ponggal di Kapar Klang hari ini.
Berucap di depan kira- kira 300 kaum India, Dr Mahathir merayu sokongan komuniti tersebut untuk mengundi Pakatan Harapan pada PRU14 nanti.
Beliau berjanji akan membela kebajikan kaum India jika beliau dipilih menjadi perdana menteri semula.
“Saya tekankan kalau saya jadi perdana menteri saya akan jaga rakyat di negeri ini, juga kepada komuniti India saya akan bela kebajikan mereka.
“Saya tahu anda akan sokong saya, sokong lah supaya janji ini boleh jadi kenyataan.”
Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini mendakwa beliau lebih banyak sumbangan dalam pembangunan masyarakat India berbanding Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
Dr Mahathir menyindir Najib mengatakan perdana menteri itu tiba-tiba mudah lupa.
“Kita tahu masalah masyarakat India di negara ini. Menurut mereka, saya tak buat apa- apa untuk masyarakat India.
“Tapi bila anda tidak berkuasa dan tidak lagi menjadi perdana menteri secara tiba - tiba mereka terlupa apa jasa saya,” katanya.
Bekas perdana menteri itu turut berjanji akan berkhidmat dan menjaga kebajikan masyarakat India lebih baik daripada kerajaan sedia ada terutama dalam bidang pendidikan .
“Masyarakat India merupakan sebuah komuniti yang dinamik, mereka lebih berminat pada untuk pendidikan anak- anak.
“Masyarakat India mahu yang terbaik untuk mereka.Mereka akan setaraf dengan kaum lain.” – 4 Februari, 2018.
Komen