KONTROVERSI pemilikan saham membabitkan pegawai tertinggi pencegahan rasuah negara dan serangan susulan penyokongnya terhadap Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang menyiasat perkara itu bukan sahaja akan menghakis keyakinan orang ramai malah menjejaskan kepercayaan pelabur asing, kata Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
Bekas Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, satu lagi kisah rasuah di samping skandal sedia ada akan terus mencemarkan imej negara dan menyebabkan pelabur menjauhkan diri.
“Ini (amalan rasuah di peringkat atasan) bukan sahaja menjejaskan keyakinan orang ramai tetapi juga keyakinan pelabur.
“Negara sudah berada di titik paling bawah ketika ini. Skandal seperti ini mampu menyisihkan pelabur asing.
“Tiada siapa akan melabur dengan negara yang secara terbuka bertolak ansur dengan rasuah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki didakwa memiliki saham dalam dua syarikat senaraian awam pada 2015 dan 2016 semasa beliau menjadi ketua penyiasatan SPRM. Persoalan timbul mengenai bagaimana beliau boleh memperoleh berjuta-juta saham dengan gaji sebagai penjawat awam dan sama ada beliau melanggar undang-undang SC selepas mengakui membenarkan akaun dagangan sahamnya digunakan oleh adiknya.
Azam menafikan sebarang salah laku, menyatakan saham itu dibeli oleh adiknya menerusi akaunnya, kemudiannya dipindahkan kepada adiknya, oleh itu beliau (Azam) tidak meraih faedah kewangan.
Selepas SC mengumumkan akan menyoalnya, satu laporan dibuat kepada SPRM yang mendakwa berlaku rasuah oleh beberapa pegawai kanan SC. SC tidak menjawab dakwaan itu secara terbuka.
Serangan media sosial terhadap mereka yang mengkritik Azam menerusi akaun Twitter yang baru dibuat, dan kenyataan timbalan pesuruhjaya SPRM yang mengikrarkan sokongan mereka terhadapnya dan menggelar dakwaan terhadap Azam “bermotifkan politik” menimbulkan gambaran pergolakan dalam perkhidmatan awam, menurut beberapa pemerhati.
Tunku Aziz berkata, ini akan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan.
Beliau berkata, orang ramai tidak akan sekali-kali menerima dan bersetuju dengan amalan rasuah di peringkat atasan.
“Mereka mesti sedar tidak mungkin orang ramai akan menerimanya (amalan rasuah sedemikian di institusi atasan).
“Keyakinan awam sukar diperoleh tetapi yang paling penting, ia lebih sukar untuk dikekalkan. Dengan sedikit tindakan, yang menimbulkan syak wasangka, anda sudah berakhir,” katanya.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan juga berpandangan sama.
Beliau berkata, konflik antara dua institusi tertinggi tidak memberi petanda baik dan mencadangkan masing-masing mesti adil semasa menyiasat antara satu sama lain.
“Keyakinan orang ramai terhadap institusi dan agensi kita akan terhakis apabila berlaku konflik antara agensi penting.
“Laporan media tertentu menyatakan SPRM menerima aduan terhadap pegawai tertentu dan ahli Lembaga Pengarah SC berhubung kemungkinan aktiviti rasuah. Ini hangat selepas SC mengumumkan mereka akan menyoal Ketua Pesuruhjaya SPRM mengenai dakwaan penggunaan akaun dagangan saham oleh adiknya.
“Kami percaya SPRM akan menyiasat aduan itu secara adil, bebas dan profesional dan bukan untuk tujuan lain. SC juga harus mengambil serius aduan itu dan menjalankan siasatan mereka sendiri terhadap dakwaan melakukan kesalahan itu,” katanya.
Azam didakwa memiliki 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun sama dan 1.02 juta saham pada tahun berikutnya.
SPRM berkata, ia bersedia menyiasat SC selepas menerima laporan mendakwa amalan rasuah dalam kalangan pegawai kanan SC.
Laporan itu dibuat oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka Rakyat Malaysia Prihatin yang kurang dikenali.
Ia dibuat sejurus selepas pengumuman SC akan menyoal Azam berhubung pemilikan saham korporatnya dan kemungkinan pelanggaran peraturan, kerana beliau mengakui adiknya Nasir Baki menggunakan akaun dagangan sahamnya.
Menurut Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda) menyebut semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan. – 18 Januari, 2022.
Komen