SPRM terima laporan terhadap pegawai kanan Suruhanjaya Sekuriti


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan telah menerima laporan daripada kumpulan masyarakat sivil yang mendakwa terdapat dakwaan rasuah terhadap pegawai kanan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Sumber agensi itu mengesahkan pihaknya sudah menerima aduan daripada empat individu yang menggelarkan diri sebagai Rakyat Malaysia Prihatin pada Ahad.

Laporan itu dibuat berhubung dakwaan salah laku dan rasuah melibatkan pengurusan tertinggi SC, ahli lembaga pengarahnya dan ahli politik yang tidak dinamakan.

“SPRM perlu membuat kajian terhadap aduan tersebut sebelum siasatan lanjut dijalankan. Kesahihan aduan itu perlu disemak terlebih dahulu.

“Bukti yang dikemukakan pengadu berhubung tiga kes dakwaan di dalam SC perlu disemak sebelum kertas siasatan dibuka. Jika nyata ada unsur salah laku dan rasuah, siasatan akan dimulakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam pada itu wakil Rakyat Malaysia Prihatin berkata mereka telah membuat aduan untuk tiga kes kepada SPRM.

Satu melibatkan anak lelaki kepada pengurusan tertinggi SC yang juga memegang jawatan penting dalam syarikat yang disiasat oleh SC; yang kedua melibatkan konflik kepentingan; dan aduan ketiga melibatkan pegawai berpangkat tinggi SC yang didakwa menerima rasuah sebagai balasan untuk menutup siasatan ke atas syarikat awam yang melakukan kesalahan perdagangan.

Laporan kumpulan itu dibuat selepas kenyataan SC pada 6 Januari yang meminta penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berhubung pemilikannya dalam pegangan saham melibatkan beberapa syarikat.

Azam Baki berkata beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak mempunyai sebarang kepentingan atau pegangan saham dalam mana-mana syarikat.

Beliau menjelaskan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah yang akaun sahamnya digunakan adiknya, Nasir Baki untuk membuat transaksi dan beliau tidak mempunyai kepentingan dalam saham yang dibeli adiknya itu.

Menurut kenyataan SC, di bawah seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik pendeposit atau atas nama penama yang diberi kuasa. – 11 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen