Perbalahan SPRM, SC umpama perang saudara, hakis keyakinan rakyat, kata pemerhati


Alfian Z.M. Tahir Ravin Palanisamy

Pemerhati berkata keyakinan rakyat terhadap SPRM kian terhakis susulan kontroversi isu pemilikan saham dan konflik kepentingan membabitkan ketua pesuruhjayanya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

SERANGAN media sosial dan pelbagai siasatan dakwaan terhadap pengawal selia tertinggi dan ketua agensi antirasuah telah menjadi perang saudara dalam perkhidmatan awam, sekali gus menimbulkan keraguan kepada kerajaan, kata pemerhati.

Mereka berkata, mana-mana individu yang terlibat perlu bercuti sehingga pihak berkuasa menyiasat perkara itu terlebih dahulu seterusnya terbawa-bawa ke dalam media sosial dan kini menjadi bualan ramai terutama di kalangan ahli politik.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dikecam kerana memiliki saham yang kemudiannya didakwa dibeli adiknya menggunakan akaun milik beliau.

Ini sekali gus menyebabkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan siasatan yang kemudiannya mencetuskan dakwaan bahawa pimpinan tertinggi pengawal selia itu juga terlibat dalam urusan yang boleh dipersoalkan.

“Keyakinan orang ramai terhadap SPRM dan SC akan terhakis jika kedua-dua suruhanjaya itu terus bertelagah antara satu sama lain,” kata Ahli Parlimen dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) William Leong.

Leong ialah Ahli Parlimen Selayang dan juga menganggotai (PSSC) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Saya rasa amat tragis dan menyedihkan bahawa kedua-dua badan yang diberikan begitu banyak kepercayaan dan keyakinan telah menjadikan ini sebagai pertempuran.

SPRM bersedia untuk menyiasat SC selepas laporan dibuat kepada agensi antirasuah yang mendakwa amalan rasuah dalam kalangan pegawai kanan SC.

Ini susulan pengumuman SC bahawa ia akan menyoal Azam berhubung pemilikan saham korporatnya dan kemungkinan pelanggaran peraturan, kerana beliau mengaku bahawa adiknya, Nasir Baki telah menggunakan akaun dagangan sahamnya.

Selepas SC berkata akan menyoal Azam, kumpulan yang dinamakan sebagai Rakyat Malaysia Prihatin (RMP) pula membuat laporan kepada SPRM mendakwa tiga kes amalan rasuah di kalangan pegawai kanan SC.

Pertama melibatkan anak ahli pengurusan tertinggi SC, yang memegang jawatan tertinggi dalam syarikat yang disiasat suruhanjaya itu; kedua melibatkan isu konflik kepentingan; dan ketiga melibatkan pegawai berpangkat tinggi didakwa menerima rasuah kerana menutup mata terhadap siasatan terhadap syarikat awam kerana melakukan kesalahan dagangan.

Perang saudara juga telah mendapat perhatian bekas pengerusi Panel Pencegahan Rasuah SPRM dan bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan Ramon Navaratnam yang berkata kedua-dua institusi itu akan memberi kesan buruk kepada keseluruhan perkhidmatan awam dan keyakinan orang ramai terhakis.

“Ini adalah dua institusi yang mempunyai standard integriti yang sangat tinggi pada masa lalu tetapi dengan kemerosotan dalam tadbir urus yang baik dari segi sistem dan kerajaan, kedua-dua institusi ini telah terjejas.

“Ini amat dikesali kerana ia memberi tamparan kuat berhubung keyakinan orang ramai terhadap dua institusi tertinggi itu. Mereka komited atau harus komited terhadap integriti, tadbir urus yang baik dan bertindak dengan adil.

“Jika kedua-dua institusi ini disyaki (amalan rasuah), dan perlu disiasat, biarlah ia berjalan, jika tidak keyakinan orang ramai akan semakin merosot,” katanya.

Ramon berkata gesaan untuk mewujudkan jawatankuasa bersama Parlimen adalah idea yang baik malah kebanyakan kumpulan masyarakat sivil dan orang di luar kerajaan mendesaknya.

Beliau bersetuju dengan Rais Yatim yang meminta Azam bercuti. Rais merupakan pengerusi jawatankuasa khas mengenai rasuah.

“Saya harap kerajaan menerimanya dan bergerak pantas. Semakin perlahan tindakan yang diambil, semakin besar kejatuhan keyakinan rakyat,” tambah Ramon.

Pengarah Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel menegaskan bahawa ini adalah sebab mengapa badan antirasuah itu berulang kali menggesa supaya siasatan peringkat tinggi diketuai Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan anggota bebas yang tidak dikaitkan dengan SPRM.

“Kami harap beliau (Ismail) akan menyahut seruan untuk turut mengarahkan Azam bercuti sementara siasatan dijalankan,” katanya.

Sementara itu, pemerhati seperti Syahredzan Johan, seorang peguam dan setiausaha politik kepada veteran DAP Lim Kit Siang mendakwa sebuah akaun Twitter baharu yang menyokong Azam telah diwujudkan baru-baru ini.

Akaun-akaun ini menghantar tweet antara satu sama lain, dengan kandungan tertumpu kepada menyerang DAP dan setiausaha agungnya Lim Guan Eng.

Bagi Aktivis Pencegahan Rasuah, Halim Ishak perang saudara memerlukan penyelesaian segera sebelum ia menjadi tidak terkawal.

“Ia kelihatan aneh apabila seseorang sedang menyiasat yang lain dan tiba-tiba mereka juga disiasat. Ada sesuatu yang tidak betul.”

“Kerajaan perlu bertindak cepat, jika tidak rakyat akan hilang keyakinan. Apa yang dibuat Azam Baki ini adalah satu perkara yang serius. Kami tidak mengatakan beliau bersalah tetapi untuk memastikan keadilan beliau harus membenarkan pihak berkaitan menyiasat,” katanya. – 16 Januari, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen